Sultan Selangor Dedah Kronologi LRT3, Hargai Najib, Puji Anwar Teruskan Projek

Oleh: Manzaidi Mohd Amin

SHAH ALAM – Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan projek LRT3 Shah Alam yang disifatkan akhirnya berjaya direalisasikan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat Selangor, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang serta kawasan sekitarnya.

Dalam titah perutusan baginda, Sultan Selangor turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Najib Razak kerana menerima cadangan baginda supaya satu sistem pengangkutan rel dibina bagi menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Menurut baginda, cadangan itu disampaikan kepada Najib ketika satu majlis berbuka puasa di kediaman bekas Perdana Menteri itu pada tahun 2015.

Baginda bertitah, Najib menerima cadangan tersebut tanpa ragu-ragu selepas dimaklumkan mengenai keluhan yang diterima daripada ramai suri rumah berhubung kesukaran suami mereka pulang awal akibat kesesakan lalu lintas, khususnya di Lebuhraya Persekutuan.

Baginda menjelaskan, ketika itu Klang hanya mempunyai dua jambatan yang merentasi Sungai Klang, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak menjadi lebih buruk.

Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Najib kemudiannya memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018.

Sultan Selangor turut bertitah, projek LRT3 tergendala selama lebih 18 bulan susulan pertukaran kerajaan pada 2018, selain berdepan tambahan kelewatan selama 19 bulan akibat pandemik COVID-19 sehingga tahun 2021.

Baginda bertitah, ketika itu Lim Guan Eng dan Tony Pua dari DAP telah mengurangkan kos pelaburan projek atas alasan ia merupakan projek “mega”. Namun, baginda menegaskan mereka tidak memahami tujuan sebenar pembinaan LRT3 yang menurutnya adalah bagi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.

“Beta ingin tegaskan, ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat beta,” titah baginda.

Menurut baginda lagi, ketika Kementerian Kewangan berada di bawah pentadbiran Guan Eng dan Pua, saiz setiap stesen turut dikecilkan, jumlah gerabak kereta api dikurangkan serta lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran projek dibatalkan.

Bagaimanapun, Sultan Selangor menzahirkan rasa syukur apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta bersetuju meneruskan projek tersebut.

Baginda bertitah, Anwar turut bersetuju mengembalikan semula lima stesen yang sebelum ini dibatalkan, selain membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat.

Menurut baginda, Perdana Menteri juga telah mengarahkan supaya tiada lagi sebarang halangan daripada mana-mana pihak berkaitan projek berkenaan.

“Terima kasih dan syabas beta ucapkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor berharap pembukaan LRT3 mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta menyediakan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat, khususnya kepada penduduk Klang dan Shah Alam yang bekerja di Kuala Lumpur.

Baginda turut berharap pihak Prasarana Malaysia Berhad dapat menyelenggara laluan LRT3 dengan baik supaya perkhidmatannya dapat beroperasi secara lancar dan sempurna.

Pada masa sama, baginda menegaskan tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan mendakwa kejayaan pelaksanaan LRT3 adalah hasil usaha mereka semata-mata.

Menurut baginda, hakikatnya projek tersebut merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya.

Mengakhiri titah, Sultan Selangor berharap kemudahan infrastruktur LRT3 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *