KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 4,557 kes kehilangan kanak-kanak sejak 2021 hingga tahun lalu dengan peningkatan setiap tahun kecuali bagi 2023.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata 2023 merekodkan penurunan jumlah kes sebanyak 13.8 peratus berbanding 2022.
Beliau berkata berdasarkan statistik, kes kehilangan kanak-kanak yang direkodkan pada 2021 membabitkan 594 orang, manakala 903 orang pada 2022, 778 orang (2023), 1,063 orang (2024) dan 1,219 orang (2025).
Katanya, antara langkah yang diambil untuk menangani kes kanak-kanak hilang adalah bagi setiap laporan kehilangan kanak-kanak akan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH) dengan segera bagi membolehkan tindakan pengesanan dilaksanakan tanpa perlu menunggu tempoh tertentu;
“Memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak media dalam usaha mengesan dan menyelamatkan kanak-kanak yang dilaporkan hilang;
“Meningkatkan penggunaan platform digital dalam penyebaran maklumat orang hilang serta memperluaskan capaian hebahan kepada masyarakat bagi mempercepatkan proses pengesanan melalui portal hebahan kanak-kanak hilang yang boleh diakses oleh masyarakat di laman web rasmi PDRM.
“Melaksanakan program advokasi dan kesedaran awam secara berterusan mengenai keselamatan kanak-kanak, risiko pelarian dari rumah, eksploitasi dalam talian, pengaruh media sosial serta kepentingan pemantauan ibu bapa dan penjaga,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN-JELI) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha kementerian dalam menangani kes kanak-kanak hilang setakat ini kerana trend peningkatan kanak-kanak hilang sejak tahun 2021 hingga 2025 adalah amat membimbangkan.
Saifuddin berkata langkah lain ialah mengoptimumkan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM yang memberi fokus kepada kanak-kanak sekolah dan mempertingkatkan pemantauan terhadap kes-kes berulang.
Turut dilaksanakan ialah mengenal pasti faktor-faktor utama yang menyumbang kepada kehilangan kanak-kanak, termasuk konflik keluarga, pengaruh rakan sebaya, masalah emosi, eksploitasi seksual, penggunaan media sosial secara tidak terkawal serta kecenderungan melarikan diri dari rumah atau institusi jagaan. – Berita Harian
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001