POLITIK ini kadang-kadang lucu. Ketika berada di dalam rumah, segala dinding nampak kukuh. Bila melangkah keluar, tiba-tiba bumbung bocor, tiang senget dan pintu pun dikata reput.
Begitulah lebih kurang gambaran yang sedang menyelubungi episod terbaharu membabitkan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi.
Beliau memilih untuk keluar UMNO berkuat kuasa serta-merta. Alasannya cukup berat, iaitu mendakwa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu berlaku akibat campur tangan istana.
Tuduhan seperti itu bukan sekadar lontaran politik kedai kopi. Ia menyentuh perkara yang sensitif dan melibatkan institusi yang selama ini menjadi payung kepada sistem bernegara.
Namun, dalam politik setiap cerita biasanya ada dua versi. Kalau sebelah pihak menabur padi, sebelah lagi mendakwa yang ditabur itu sebenarnya lalang.
Tidak menunggu lama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tampil membalas. Menurut beliau, punca sebenar Puad meninggalkan parti bukanlah kerana prinsip besar yang sedang diperjuangkan.
Sebaliknya, ia berkait dengan cadangan supaya anak beliau dipilih sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang tidak mendapat tempat dalam senarai calon UMNO-Barisan Nasional (BN).
Lebih menarik, menurut Asyraf, perkara itu sendiri pernah dimaklumkan oleh Puad kepadanya sebelum ini, dan apabila senarai calon diumumkan tanpa nama anaknya, maka terjawablah teka-teki yang selama ini berlegar di ruang spekulasi.
Benar atau tidak, itu urusan mereka yang terlibat. Namun, rakyat yang menonton dari luar tentu teringat kepada pepatah lama: “Harapkan pegar, pegar makan padi.” Cuma kali ini versi politiknya sedikit berbeza, bila padi tidak menjadi milik sendiri, pagar pula dituduh tidak lurus.
Dalam dunia politik, keluar parti bukan perkara luar biasa. Yang luar biasanya ialah apabila alasan keluar berubah mengikut musim. Ketika jawatan ada, parti dipuji sebagai kapal besar yang mampu mengharungi badai. Apabila kehendak tidak dipenuhi, kapal yang sama dikatakan sudah bocor dan nakhoda pula dituduh hilang arah.
Orang tua-tua dahulu berpesan, “Kalau hendak marahkan nyamuk, jangan dibakar kelambu.” Jika benar ada ketidakpuasan hati terhadap proses pemilihan calon, nyatakan sahaja dengan terus terang. Politik pun lebih mudah difahami. Tidak perlu membawa isu yang lebih besar sehingga mengundang pelbagai tafsiran dan persoalan.
Lagipun, rakyat hari ini bukan lagi mudah menerima bulat-bulat setiap kenyataan yang dilontarkan. Mereka memerhati, menilai dan menyusun sendiri kepingan-kepingan puzzle yang ada.
Bila seorang pemimpin mendakwa keluar atas dasar prinsip, kemudian muncul pula dakwaan bahawa isu sebenar ialah soal pencalonan anak, orang ramai tentunya akan bertanya: yang mana satu cerita asal dan yang mana satu cerita tambahan?
Politik keluarga bukan perkara baharu. Dari utara sampai ke selatan, dari parti lama hingga parti baharu, isu waris politik sentiasa menjadi bahan bualan. Tidak salah seorang anak berminat menjadi calon.
Tidak salah juga jika parti memilih orang lain. Yang menjadi masalah apabila kehendak peribadi dibungkus cantik-cantik sebagai perjuangan prinsip.
Bak kata peribahasa, “terlalu nampak jarum di seberang laut, gajah di depan mata tidak kelihatan”. Mudah menuding jari kepada orang lain tentang soal integriti dan demokrasi, tetapi sukar menerima hakikat bahawa parti juga mempunyai hak untuk memilih siapa yang dianggap paling sesuai mewakili mereka.
Apa yang berlaku ini sebenarnya memberikan satu pengajaran mudah. Dalam politik, kesetiaan sering diuji bukan ketika mendapat habuan, tetapi ketika tidak mendapat apa yang diinginkan.
Ketika nama disebut dan jawatan diberi, ramai yang mengaku pejuang, tetapi apabila nama tercicir daripada senarai, baharulah kelihatan siapa yang benar-benar berjuang untuk parti dan siapa yang sebenarnya berjuang untuk cita-cita sendiri.
Akhirnya, rakyat mungkin hanya mampu menggeleng kepala. Pertelingkahan ini mengingatkan kepada kisah musang yang gagal mencapai buah anggur lalu mendakwa anggur itu masam. Bezanya, dalam versi politik, bukan sahaja anggur dikata masam, bahkan kebun, pagar dan tukang kebun sekali dipersalahkan.
Begitulah politik. Kadang-kadang yang keluar membawa panji prinsip, yang tinggal pula membawa fail cerita lama. Dan, di tengah-tengah hiruk-pikuk itu, rakyat masih menunggu siapa sebenarnya bercakap benar, dan siapa sekadar mencari alasan yang paling sedap didengar.
Yang pasti, kalau air sudah surut, batu di dasar sungai akhirnya akan kelihatan juga. Masa, seperti biasa, akan menjadi hakim yang paling adil. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L