KUALA LUMPUR: Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap BERSATU memandangkan kedua-dua parti itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Pengasas Gerakan RESET itu berkata, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan terlebih dulu sebelum menentukan sama ada BERSATU wajar dianggap sebagai rakan atau seteru dalam gabungan berkenaan.
“Kalau dianggap sebagai seteru, maka berseterulah kami. Sebab itu sekarang saya sedang melihat segala kenyataan yang mereka keluarkan.
“Sama ada mereka mahu melihat saya sebagai seteru atau mahu melihat parti ini sebagai rakan mereka dalam PN, semua itu akan diambil kira,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang, Bukit Tunku, di sini, hari ini.
Sebelum ini, kemelut antara Hamzah dan BERSATU menjadi semakin tegang selepas parti itu membantah keputusan PN menerima Wawasan Negara sebagai anggota gabungan.
Media melaporkan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan bantahan itu dibuat kerana PN masih dibelenggu dengan isu dalaman yang belum selesai.
Beliau merujuk kepada ketegangan yang memuncak selepas PAS memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU pada 8 Jun lalu.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001