Haim Hilman Didakwa Di Mahkamah Berhubung Isu Akses Pendidikan Tinggi

Oleh NurFarhana Zulkeply

SEREMBAN – Exco Pengajian Tinggi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah hadir di Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kenyataannya mengenai isu kemasukan pelajar ke universiti awam (UA).

Haim berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada proses perundangan selain mempertahankan kenyataannya yang menurut beliau dibuat demi memperjuangkan peluang pendidikan yang lebih adil kepada pelajar, khususnya daripada keluarga B40 dan M40.

“Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan dan akan terus bersuara sehingga kebenaran ditegakkan serta peluang pendidikan yang adil untuk anak-anak Malaysia tanpa mengira bangsa terbela.

“Jika Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, saya bersedia menjawabnya dengan data, fakta dan bukti,” katanya kepada media.

Terdahulu, KPT memaklumkan sedang meneliti tindakan serta prosedur perundangan terhadap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu susulan ucapannya pada Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu.

Dalam ucapannya, Haim mendakwa terdapat puluhan ribu pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam melalui apa yang disifatkannya sebagai “pintu belakang”, selain mendakwa wujud amalan menjual tempat pengajian kepada golongan berkemampuan.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut telah dinafikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang menegaskan proses pengambilan pelajar ke universiti awam dilaksanakan mengikut dasar serta prosedur yang ditetapkan.

Prosiding kes itu dijangka menjadi tumpuan memandangkan ia melibatkan isu akses kepada pendidikan tinggi serta dakwaan berkaitan sistem kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *