Puad Umum Keluar UMNO, Dakwa UMNO Johor Hilang Kebebasan Buat Keputusan

Oleh NurFarhana Zulkeply

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Puad berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara bebas tanpa lagi dikaitkan sebagai pihak yang menentang parti dari dalam.

Beliau mendakwa antara faktor utama yang mendorong keputusannya ialah UMNO Johor tidak lagi mempunyai kebebasan membuat keputusan sendiri kerana didakwa dipengaruhi oleh pihak Istana.

“Alasan utama saya keluar UMNO ialah, UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. UMNO Johor dikawal oleh Istana dalam membuat keputusan,” katanya.

Puad turut mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pernah memaklumkan kepadanya bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu dibuat susulan titah daripada pihak Istana.

Selain itu, beliau berpendapat kepimpinan UMNO Johor kini tidak lagi bebas menentukan hala tuju parti di negeri berkenaan, sekali gus menjadi antara sebab beliau memilih untuk meninggalkan UMNO.

Bagaimanapun, Puad menegaskan beliau tetap menghormati dan menyayangi UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia, namun tidak mahu berkompromi dengan perkara yang disifatkannya bertentangan dengan prinsip perjuangan yang diyakini.

Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada kepimpinan UMNO, kerajaan negeri Johor mahupun Menteri Besar Johor berhubung dakwaan yang dibuat oleh Puad.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.        

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *