Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali
SUDAH menjadi stigma dan persepsi dalam kalangan sebahagian industri bahawa graduan TVET tidak cukup bersedia untuk terus bekerja.
Penyedia latihan sering dipersalahkan kerana dikatakan gagal melahirkan pekerja yang benar-benar menepati kehendak majikan. Namun, hakikatnya pusat latihan tidak mungkin mampu menyediakan pekerja yang 100 peratus memenuhi keperluan khusus setiap syarikat.
Dalam konteks latihan kemahiran, pusat latihan pada asasnya mampu menyediakan sekitar 60 peratus keperluan kemahiran secara umum bagi sesuatu sektor, khususnya dari aspek asas kompetensi, pengetahuan teknikal dan standard pekerjaan.

Selebihnya perlu dibentuk di tempat kerja kerana setiap industri, pengeluar atau kilang mempunyai kaedah operasi, mesin, bahan, teknologi, jenama dan prosedur khusus yang berbeza.
Justeru, apabila industri mengharapkan graduan yang terus siap pakai, persoalan yang perlu ditanya ialah adakah industri sendiri sudah memainkan peranan dalam membentuk kemahiran yang mereka perlukan?
Persoalan ini perlu dilihat dengan lebih terbuka. Adakah pembangunan tenaga mahir hanya menjadi tanggungjawab pusat latihan? Adakah industri hanya perlu menunggu keluaran graduan, kemudian memilih yang terbaik untuk diambil bekerja?
Dalam dunia pekerjaan yang semakin pantas berubah, pendekatan sedemikian tidak lagi mencukupi. Jika industri mahukan pekerja yang benar-benar memahami teknologi, proses, budaya kerja dan standard operasi mereka, maka industri perlu turut hadir dalam proses latihan itu sendiri.
Atas keperluan inilah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) diperkenalkan pada tahun 2005 sebagai pendekatan latihan yang menggabungkan pembelajaran di pusat latihan dengan latihan sebenar di industri.

Kini, SLDN dijenamakan semula sebagai Akademi Dalam Industri (ADI) bagi memberi penekanan yang lebih jelas bahawa industri bukan sekadar penerima tenaga kerja, tetapi rakan utama dalam membangunkan tenaga mahir negara.
Penjenamaan semula ini penting kerana istilah Akademi Dalam Industri membawa mesej yang lebih kuat. Industri itu sendiri menjadi medan pembelajaran.
Kilang, bengkel, premis perniagaan, tapak projek, makmal, ladang moden, dapur komersial, pusat servis, hospitaliti, logistik dan pelbagai tempat kerja lain boleh menjadi akademi sebenar untuk membentuk kemahiran.
Di sinilah pelatih belajar menggunakan peralatan sebenar, memahami prosedur kerja, mematuhi standard keselamatan, menyesuaikan diri dengan budaya kerja dan menyelesaikan masalah sebenar.
Maka, industri tidak boleh lagi berada di hujung rantaian latihan. Industri tidak sepatutnya hanya menunggu graduan daripada pusat latihan, kemudian mengkritik bahawa kemahiran mereka tidak mencukupi.
Sebaliknya, industri perlu tampil lebih awal dengan menyatakan kemahiran yang diperlukan, menyediakan tempat latihan, melantik pekerja berpengalaman sebagai pembimbing, berkongsi teknologi, memberi pendedahan kepada proses kerja sebenar dan menilai tahap kompetensi pelatih.

Industri juga boleh menyumbang dengan mengenal pasti pekerjaan kritikal, menyemak kandungan latihan, memberi maklum balas kepada pusat latihan, menyediakan peralatan yang relevan, menawarkan latihan berasaskan kerja serta membuka laluan pekerjaan kepada pelatih yang menunjukkan prestasi baik.
Inilah roh sebenar ADI. Tenaga mahir tidak dibentuk di dalam bilik kuliah semata-mata, tetapi melalui pengalaman kerja sebenar, bimbingan majikan dan pendedahan kepada standard industri.
Pendekatan ini selari dengan kehendak Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) yang memberi penekanan kepada latihan kemahiran berasaskan kerja dan berorientasikan industri.
Dalam konteks ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memainkan peranan penting sebagai penyelaras, pengawal kualiti dan penjaga integriti sistem kemahiran negara.
JPK memastikan latihan yang dilaksanakan melalui ADI mempunyai struktur, standard, pemantauan, penilaian dan persijilan yang sah melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).
ADI juga bertepatan dengan hala tuju negara melalui Dasar TVET Negara 2030, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) serta agenda (R)EVOLUSI TVET yang menekankan TVET bersifat industri, bernilai tinggi, digital, fleksibel dan responsif kepada ekonomi masa hadapan.
Sasaran negara untuk mencapai 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030 tidak akan tercapai jika industri hanya menunggu hasil latihan daripada pusat latihan.
Sasaran ini menuntut penglibatan langsung industri sebagai penyedia latihan, pembimbing, penilai dan penyerap bakat ke alam pekerjaan.
Kesimpulannya, ADI ialah pendekatan yang menjawab isu sebenar dalam pasaran kerja, iaitu jurang antara latihan dan pekerjaan. Sebenarnya, apa yang hari ini sering disebut sebagai pendekatan TVET 2.0 telah pun dilaksanakan oleh JPK lebih 20 tahun lalu melalui SLDN.
Kini, melalui penjenamaan semula sebagai Akademi Dalam Industri, pendekatan ini diperkukuh dengan mesej yang lebih jelas iaitu industri tidak boleh lagi menjadi pemerhati atau pengkritik di luar sistem latihan.
Jika industri mahukan pekerja yang menepati keperluan mereka, industri perlu bersama-sama melatih, membimbing dan membentuk pekerja tersebut. Inilah kekuatan ADI, iaitu menjadikan industri bukan sekadar pengguna tenaga kerja, tetapi rakan strategik dalam membina masa depan kemahiran negara.
Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali adalah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia Jun 2026
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L