Faiz Persoal Kepimpinan Sebenar PN, Dakwa Krisis Dalaman Isyarat Bahaya Kepada Negara

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil mempersoalkan siapakah sebenarnya pemimpin yang mempunyai kuasa mutlak dalam Perikatan Nasional (PN) susulan perkembangan terbaharu yang menyaksikan pertukaran jawatan Ketua Pembangkang dalam tempoh yang amat singkat.

Menurut beliau, pengumuman Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyaksikan pelantikan semula Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang selepas hanya 28 hari penyandangannya dipegang oleh Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menimbulkan persoalan besar mengenai struktur kepimpinan dan proses membuat keputusan dalam gabungan pembangkang itu.

Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja luar biasa dalam landskap politik negara, malah menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan sebenar Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN.

“Persoalan yang perlu dijawab ialah siapakah sebenarnya yang memimpin PN? Jika seorang Pengerusi gabungan tidak mampu mempertahankan keputusan penting melibatkan kepimpinan blok pembangkang, maka rakyat berhak mengetahui di manakah terletaknya kuasa sebenar dalam gabungan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Beliau turut menyifatkan pertukaran jawatan Ketua Pembangkang dalam tempoh hanya 28 hari sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik moden negara.

Menurutnya, Ahmad Samsuri bukan sahaja tidak sempat membuktikan kredibiliti dan kemampuan beliau di Dewan Rakyat sebagai Ketua Pembangkang, malah kehilangan jawatan tersebut sebelum sempat memainkan peranan yang signifikan dalam mengemudi blok pembangkang.

“Dalam tempoh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal memimpin kerajaan, namun Ketua Pembangkang yang baharu dilantik pula sudah ditukar. Ini menunjukkan ketidakstabilan yang jelas dalam pengurusan kepimpinan pembangkang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, pengumuman PAS mengenai hubungan politiknya dengan Bersatu turut mengukuhkan lagi tanggapan konflik dalaman antara kedua-dua parti belum selesai dan memberi kesan langsung kepada kestabilan PN.

Beliau mengingatkan sebelum ini hubungan PAS dan Bersatu sering menjadi perhatian kerana kedua-duanya merupakan tunjang utama dalam gabungan tersebut.

Justeru, sebarang perkembangan yang menggambarkan ketegangan antara kedua-dua parti akan memberi kesan keyakinan rakyat terhadap masa depan PN.

“Penyelesaian hubungan antara PAS dan Bersatu sepatutnya menjadi ukuran kepada kewibawaan kepimpinan Pengerusi PN. Namun perkembangan yang berlaku hari ini memperlihatkan kegagalan Ahmad Samsuri untuk mengurus serta menyatukan kepentingan parti-parti dalam gabungan tersebut,” katanya.

Faiz seterusnya berpandangan episod terbaharu ini telah melemahkan imej Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN dan menimbulkan persepsi beliau tidak mempunyai kuasa politik yang mencukupi untuk menentukan hala tuju gabungan itu secara bebas.

Menurut beliau, keadaan tersebut menjadikan kedudukan Ahmad Samsuri sekadar simbolik, manakala keputusan strategik yang besar dilihat masih bergantung kepada kepimpinan PAS.

“Persepsi yang terbentuk hari ini ialah Pengerusi PN tidak mempunyai autonomi politik yang sebenar. Ini memberi gambaran keputusan utama dalam gabungan boleh berubah pada bila-bila masa bergantung kepada kehendak pihak tertentu,” katanya.

Dalam masa sama, Faiz menegaskan ketidakstabilan dalaman yang dipamerkan PN ketika ini menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan gabungan itu untuk mentadbir negara sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Beliau berkata, rakyat memerlukan sebuah kerajaan stabil, konsisten dan mempunyai struktur kepimpinan yang jelas, bukannya gabungan yang sering berdepan pertikaian dalaman mengenai soal kuasa dan kepimpinan.

“Rakyat masih mengingati episod ketidakstabilan politik yang pernah berlaku selepas Langkah Sheraton. Apa yang sedang berlaku dalam PN hari ini mengundang kebimbangan bahawa sejarah sama boleh berulang sekiranya gabungan tersebut kembali diberi peluang memerintah negara,” katanya.

Menurut Faiz, situasi itu bukan sekadar isu dalaman parti politik, sebaliknya mempunyai implikasi besar terhadap keyakinan pelabur, kestabilan pentadbiran dan hala tuju negara.

“Lebih membimbangkan, jika keputusan kerajaan pada masa hadapan boleh ditentukan atau diubah oleh seorang individu yang tidak memegang jawatan rasmi dalam kerajaan, maka ia menimbulkan persoalan serius mengenai prinsip kebertanggungjawaban dan tadbir urus negara.

“Malaysia memerlukan kepimpinan yang stabil, telus dan berasaskan institusi yang kukuh. Apa yang berlaku dalam PN hari ini menunjukkan bahawa gabungan tersebut masih bergelut untuk menyelesaikan persoalan asas mengenai siapa yang sebenarnya memimpin mereka,” tegas beliau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *