Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail mempertahankan peranan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), susulan kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang didakwa memperkecilkan sumbangan gabungan itu.
Menurut beliau, mereka yang menilai politik semata-mata berdasarkan jumlah kerusi Parlimen gagal memahami realiti sebenar pembentukan kerajaan dalam sistem demokrasi moden yang memerlukan kebijaksanaan membina kesepakatan antara pelbagai pihak.
Fariz Hazurin berkata, UMNO dan BN bukan sekadar menyumbang 30 kerusi Parlimen, sebaliknya memainkan peranan strategik dalam menentukan hala tuju negara ketika berdepan situasi Parlimen tergantung selepas PRU15.
“Tanpa keputusan berani yang dibuat oleh kepimpinan BN ketika itu, Malaysia mungkin berdepan kebuntuan politik yang berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di media sosial.
Menurut beliau, keadaan itu berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran negara, keyakinan pelabur serta prospek pertumbuhan ekonomi sekiranya gagal ditangani dengan baik.
Fariz Hazurin turut menegaskan, sejarah politik dunia membuktikan banyak kerajaan dibentuk bukan semata-mata oleh parti yang memiliki kerusi terbanyak, tetapi oleh parti yang mampu menjadi penghubung serta jambatan penyatuan antara blok politik yang bersaing.
Beliau berkata, pengalaman politik di beberapa negara Eropah termasuk Jerman menunjukkan keupayaan membina konsensus dan persefahaman sering kali lebih penting daripada sekadar kekuatan angka di Dewan Parlimen.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan dakwaan BN hanya memainkan peranan kecil dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan sebagai tidak berpijak kepada realiti politik semasa.
Dalam masa sama, Fariz Hazurin menegaskan UMNO telah mengambil risiko politik yang besar demi memastikan negara tidak terus terjerumus ke dalam ketidakstabilan selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Katanya, sejarah bukan sahaja akan mengingati pihak yang memenangi pilihan raya, malah turut menilai mereka yang berani membuat keputusan sukar ketika negara berada dalam keadaan tidak menentu.
“Kepimpinan bukan hanya diukur melalui kemenangan, tetapi juga keupayaan membuat keputusan yang tepat demi kepentingan negara,” katanya.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai respons balas terhadap kritikan pemimpin muda PKR yang didakwa cuba memperkecilkan peranan BN dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perang kenyataan antara pemimpin muda UMNO dan PKR itu turut mencerminkan persaingan naratif politik yang semakin hangat mengenai peranan setiap parti dalam pembentukan kerajaan selepas PRU15, meskipun kedua-duanya kini berada dalam gabungan pentadbiran yang sama.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L