Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Pendidik dan pempengaruh media sosial, Mohd Fadli Salleh, melahirkan kebimbangan terhadap penularan penggunaan dadah sintetik termasuk fentanyl dan bahan psikoaktif lain dalam kalangan remaja di Malaysia yang disifatkan semakin membimbangkan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau merujuk kepada situasi yang berlaku di Kensington, Philadelphia di Amerika Syarikat yang sering dikaitkan dengan masalah penyalahgunaan dadah dan kadar kematian akibat overdos yang tinggi.
Menurutnya, bandar tersebut menjadi antara lokasi yang sering dipaparkan dalam pelbagai kandungan media sosial dan dokumentari berikutan kesan ketagihan dadah yang serius terhadap masyarakat setempat.
“Pemandangan ini adalah normal di Kensington, Philadelphia. Beribu orang lalok di setiap sudut bandar Kensington,” katanya.
Beliau mendakwa kadar kematian akibat overdos fentanyl di kawasan berkenaan turut dilaporkan meningkat sehingga menjadi cabaran besar kepada pihak berkuasa tempatan.
Dalam masa sama, Mohd Fadli meluahkan kebimbangan apabila bahan terlarang tersebut didakwa mula menular ke Malaysia dan mendapat perhatian dalam kalangan remaja.
Menurut beliau, terdapat video tular yang memaparkan remaja mengalami simptom seperti khayal, sawan dan hilang kesedaran yang dipercayai berkait dengan penggunaan vape mengandungi bahan terlarang.
Beliau turut mendakwa beberapa kes kemalangan jalan raya dipercayai mempunyai kaitan dengan individu yang berada di bawah pengaruh bahan berkenaan ketika memandu.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa dan ahli keluarga agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak serta individu terdekat bagi mengelakkan mereka terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
“Jika ada yang terlibat, cepat-cepat laporkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk dipulihkan,” katanya.
Mohd Fadli turut mengingatkan masyarakat supaya terus meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan risiko penggunaan vape yang boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan serta keselamatan.
Hantaran tersebut mendapat perhatian warga maya yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan golongan muda serta menggesa tindakan pencegahan diperkukuhkan oleh semua pihak.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L