Oleh: Siti Khadijah Manudin
KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Cina Malaysia, Chua Soi Lek mengingatkan sikap tidak peduli dan kurang penglibatan politik dalam kalangan pengundi Cina boleh memberi kelebihan kepada PAS untuk memperkukuhkan pengaruhnya sehingga berpotensi menguasai kerajaan Persekutuan pada masa hadapan.
Menurut beliau, trend penyertaan pengundi Cina yang semakin rendah dalam pilihan raya boleh memberi kesan besar terhadap keseimbangan politik negara, terutama jika kumpulan tersebut gagal memainkan peranan sebagai pengundi penentu di kawasan campuran.
Beliau menegaskan, setiap komuniti perlu terus mengambil bahagian dalam proses demokrasi bagi memastikan suara mereka diwakili.
Katanya, perubahan landskap politik sejak beberapa pilihan raya lalu menunjukkan bahawa sokongan pengundi boleh berubah dengan cepat, sekali gus membuka ruang kepada parti-parti tertentu untuk memperluaskan pengaruh mereka.
“Dalam keadaan itu, kadar keluar mengundi menjadi faktor penting yang mampu menentukan hala tuju pentadbiran negara,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat Cina supaya tidak bersikap apati terhadap perkembangan politik semasa dan terus melibatkan diri dalam proses membuat keputusan melalui pilihan raya.
Menurutnya, penglibatan aktif rakyat daripada pelbagai latar belakang amat penting bagi mengekalkan sistem demokrasi yang seimbang dan inklusif.
Pemerhati politik berpendapat kenyataan tersebut mencerminkan kebimbangan terhadap perubahan corak pengundian dan tahap penyertaan pengundi yang boleh memberi kesan kepada keputusan pilihan raya akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, PAS terus menjadi antara parti yang mempunyai pengaruh besar dalam politik negara, khususnya di beberapa negeri, dan dijangka memainkan peranan penting menjelang pilihan raya umum akan datang.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L