Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
ISKANDAR PUTERI – Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuhkan kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Presiden MMSP, R. S. Thanenthiran menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Johor BN yang disempurnakan oleh Ahmad Zahid Hamidi di EduCity, Johor pada Ahad.
Menurut MMSP, kehadiran kepimpinan dan ahli-ahli parti pada majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh semangat setiakawan serta kerjasama erat bersama semua parti komponen BN.
“Kehadiran kepimpinan serta ahli-ahli MMSP Negeri Johor mencerminkan komitmen berterusan parti dalam memperkukuhkan kerjasama dan semangat setia kawan bersama semua parti komponen Barisan Nasional demi memastikan kemenangan gabungan tersebut,” menurut kenyataan MMSP.
Parti itu turut berpandangan bahawa semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh akar umbi pada majlis berkenaan membuktikan keyakinan yang masih diberikan kepada BN untuk meneruskan agenda kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“MMSP akan terus memainkan peranan aktif sebagai rakan komponen Barisan Nasional serta komited untuk bekerja bersama seluruh jentera gabungan dalam memastikan Johor terus maju, makmur dan sejahtera,” menurut kenyataan itu lagi.
Turut mengiringi beliau ialah Naib Presiden MMSP, K. Kugeswaran, Pengerusi MMSP Johor merangkap Naib Presiden parti, Dato’ Sugumaran, Ketua Penerangan MMSP merangkap Pengerusi MMSP Negeri Sembilan, Ganapathy, Ahli Exco Tertinggi Parti, Ramasamy serta barisan kepimpinan dan ahli-ahli Badan Perhubungan MMSP Johor.
Majlis berkenaan menghimpunkan lebih 15,000 penyokong dan jentera BN dari seluruh Johor, sekali gus memperlihatkan kesiapsiagaan gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya negeri yang bakal diadakan.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L