Pembubaran DUN Negeri Sembilan Cetus Persoalan Perlembagaan, Keabsahan Tindakan Jadi Tumpuan

KUALA LUMPUR – Keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 kini menjadi tumpuan apabila timbul persoalan mengenai keabsahan proses berkenaan dari sudut perlembagaan negeri.

Perkembangan itu muncul susulan pandangan pakar perlembagaan berpandangan pembubaran DUN yang diumumkan Jumaat lalu berkemungkinan berdepan cabaran dari segi perundangan sekiranya ia tidak mendapat perkenan penuh Raja Pemerintah Negeri Sembilan sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Isu berkenaan bukan sahaja menyentuh soal pembubaran DUN semata-mata, malah turut membuka perbahasan lebih luas mengenai kedudukan institusi pemerintahan Negeri Sembilan yang mempunyai sistem adat dan perlembagaan tersendiri, berbeza daripada negeri lain di Malaysia.

Pakar perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, dalam konteks Negeri Sembilan, kuasa berkaitan pembubaran DUN serta pelantikan Menteri Besar tidak terletak secara eksklusif kepada Yang di-Pertuan Besar sahaja, sebaliknya berada di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah Negeri Sembilan.

Menurut beliau, istilah Raja Pemerintah dalam kerangka perlembagaan Negeri Sembilan merangkumi Yang di-Pertuan Besar bersama Pembesar-Pembesar Memerintah, iaitu Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Justeru, katanya, sebarang tindakan yang mempunyai implikasi perlembagaan besar seperti pembubaran DUN perlu diteliti dengan mengambil kira keseluruhan struktur pemerintahan yang diperuntukkan oleh undang-undang negeri.

“Pembubaran DUN adalah atas nama Raja Pemerintah Negeri Sembilan, bukan atas nama Yang di-Pertuan Besar yang bertindak secara bersendirian.

“Perkara ini mempunyai implikasi perundangan sangat besar kerana ia menyentuh keabsahan proses pembubaran dan seterusnya perjalanan pilihan raya yang akan diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman pembubaran DUN Negeri Sembilan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pada lewat malam Khamis lalu, Aminuddin mengumumkan DUN Negeri Sembilan dibubarkan berkuat kuasa Jumaat bagi membolehkan proses pilihan raya negeri diadakan.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas sesi menghadap di Istana Besar Seri Menanti beberapa hari sebelumnya.

Bagaimanapun, perkembangan semasa berkaitan institusi pemerintahan negeri telah mencetuskan persoalan baharu mengenai kesan perlembagaan terhadap keputusan tersebut.

Wan Ahmad Fauzi berpandangan, isu yang melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan proses pelantikan pemerintah negeri mempunyai hubungan langsung dengan soal keabsahan pembubaran DUN.

Katanya, jika berlaku pertikaian mengenai kedudukan Raja Pemerintah yang sah pada waktu perkenan pembubaran diberikan, maka perkara itu berpotensi menimbulkan persoalan undang-undang lebih besar terhadap keseluruhan proses pilihan raya negeri.

“Isu ini bukan sekadar soal politik atau pentadbiran biasa. Ia menyentuh asas kepada kuasa pemerintahan yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Oleh sebab itu, semua pihak yang terlibat perlu memastikan setiap tindakan mematuhi kehendak perlembagaan bagi mengelakkan sebarang cabaran undang-undang pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan semua syarat perlembagaan berkaitan pembubaran DUN dipenuhi sebelum meneruskan proses pilihan raya.

Menurutnya, SPR sebagai badan yang bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya perlu mendapatkan kepastian bahawa pembubaran DUN dibuat mengikut kehendak Perkara 28 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sebelum melaksanakan tugas perlembagaannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ahmad Fauzi berpandangan bahawa pendekatan paling selamat dari sudut undang-undang ialah mengambil kira tarikh 10 Jun sebagai titik rujukan rasmi bagi menentukan tempoh pembubaran DUN.

Beliau menjelaskan bahawa tarikh tersebut mempunyai kaitan langsung dengan tempoh enam bulan yang diperuntukkan dalam perlembagaan negeri berhubung perjalanan persidangan DUN.

“Jika mahu mengelakkan sebarang pertikaian atau cabaran mengenai keabsahan pembubaran DUN, maka tarikh selepas genap enam bulan daripada sidang terakhir perlu diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Isu berkenaan timbul ketika Negeri Sembilan turut berdepan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya krisis perlembagaan sekiranya persidangan DUN tidak diadakan dalam tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang negeri.

Perkara LVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan bahawa tidak boleh berlaku tempoh melebihi enam bulan antara persidangan terakhir sesuatu penggal DUN dengan persidangan pertama bagi penggal berikutnya.

Berdasarkan rekod, sidang terakhir DUN Negeri Sembilan berlangsung pada 11 Disember 2025.

Pada 23 April lalu, Istiadat Perasmian Persidangan DUN Penggal Ke-15 telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz di Seri Menanti. Namun, persidangan berkenaan kemudiannya ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Situasi itu menyebabkan perhatian kini tertumpu kepada sama ada semua keperluan perlembagaan negeri telah dipenuhi menjelang tarikh akhir yang ditetapkan.

Pemerhati politik berpendapat isu yang sedang berbangkit ini berpotensi menjadi antara perbahasan perlembagaan paling signifikan menjelang PRN Negeri Sembilan, terutama jika terdapat pihak yang mencabar kesahihan pembubaran DUN melalui saluran undang-undang.

Meskipun kerajaan negeri telah mengumumkan pembubaran DUN dan bersedia menghadapi pilihan raya, persoalan mengenai tafsiran perlembagaan serta kuasa Raja Pemerintah Negeri Sembilan dijangka terus menjadi topik perbahasan dalam kalangan pakar undang-undang, ahli politik dan institusi berkaitan.

Buat masa ini, semua pihak menantikan langkah seterusnya daripada SPR serta perkembangan lanjut mengenai kedudukan perlembagaan negeri yang bakal menentukan kelancaran proses demokrasi di Negeri Sembilan menjelang PRN Ke-16.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *