AT&S Terus Perkukuh Pelaburan di Malaysia

Oleh: Siti Khadijah Manudin

PUTRAJAYA – Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur asing apabila syarikat teknologi semikonduktor terkemuka dari Austria, AT&S, menyatakan komitmen untuk memperkukuh operasinya di negara ini. Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Michael Mertin, bersama delegasi syarikat berkenaan.

Menurut Anwar, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada perkembangan operasi AT&S Malaysia yang berpangkalan di Kulim, Kedah. Katanya, syarikat itu kini menggaji kira-kira 2,700 pekerja dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem semikonduktor negara.

“Malaysia merupakan antara hab pengeluaran utama syarikat itu selain Austria, China dan India, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap keupayaan dan daya saing negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

AT&S merupakan antara peneraju global dalam pengeluaran substrat litar bersepadu (IC) bernilai tinggi dan papan litar bercetak. Syarikat itu turut membangunkan teknologi kesalinghubungan canggih yang digunakan dalam pelbagai sektor strategik termasuk peranti mudah alih, automotif, aeroangkasa, perubatan, industri serta pengkomputeran berprestasi tinggi bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI).

Anwar berkata kerajaan akan terus menyediakan sokongan yang jelas dan konsisten kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.

Menurut beliau, pelaburan berimpak tinggi seperti yang dibawa oleh AT&S bukan sahaja meningkatkan daya saing industri negara, malah berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa keyakinan yang ditunjukkan oleh pelabur antarabangsa seperti AT&S mencerminkan kestabilan politik negara, pengurusan ekonomi yang berhemat serta kejelasan dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.

Dalam pada itu, perkembangan tersebut dilihat sebagai satu lagi petunjuk positif terhadap usaha Malaysia untuk muncul sebagai hab semikonduktor utama di rantau Asia, selaras dengan peningkatan permintaan global terhadap teknologi digital dan kecerdasan buatan.

Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *