DUN Negeri Sembilan Sah Dibubar, Spekulasi ‘Domino Effect’ Melanda Negeri Melaka

Oleh: Fatin Sajidah Fathuldin

SEREMBAN — Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang berkuat kuasa hari ini bukan sahaja membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), malah mencetuskan perdebatan politik apabila berlaku hanya beberapa hari selepas pembubaran DUN Johor.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan bahawa pembubaran DUN telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada malam Khamis, sekali gus membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun, langkah membubarkan DUN lebih dua tahun sebelum tamat penggal pentadbiran menimbulkan pelbagai reaksi daripada pemimpin politik dan pemerhati.

ADUN Nilai merangkap Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, Arul Kumar Jambunathan berkata pelbagai projek dan dasar yang dirancang berdasarkan tempoh pentadbiran lima tahun kini terpaksa berdepan gangguan susulan pilihan raya yang diadakan selepas hanya tiga tahun kerajaan memerintah.

“Sebagai EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan pula, pelbagai program serta dasar yang memberi manfaat kepada rakyat telah berjaya dilaksanakan.

“Namun begitu, terdapat juga beberapa inisiatif baharu di peringkat negeri dan Persekutuan yang masih belum dapat menunjukkan hasil yang sepenuhnya positif kerana tempoh pelaksanaannya terjejas akibat keperluan menghadapi Pilihan Raya Negeri selepas hanya tiga tahun pentadbiran.” katanya di laman Facebook miliknya.

Nada hampir sama turut disuarakan ADUN Pilah, Norazman Mohamad yang menyifatkan pembubaran DUN sebagai sesuatu yang tidak dijangka ketika masih banyak agenda pembangunan rakyat sedang dilaksanakan.

Perkembangan di Johor dan Negeri Sembilan kini mengalihkan tumpuan kepada Melaka yang dijangka berdepan pilihan raya negeri dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Penggal DUN Melaka hanya akan berakhir pada penghujung November 2026, namun desakan semakin meningkat supaya kerajaan negeri menjelaskan pendirian sama ada akan membubarkan DUN lebih awal atau menunggu sehingga hampir tamat penggal.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Hakimin Mokhtar, mendakwa pembubaran awal yang berlaku di Johor menunjukkan bagaimana pilihan raya boleh dijadikan instrumen politik untuk mendapatkan kelebihan strategik, bukannya berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

Beliau menggesa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bersikap telus mengenai sebarang rancangan pembubaran DUN bagi mengelakkan rakyat terus dibelenggu spekulasi politik.

Dengan Johor dan Negeri Sembilan kini secara rasmi menuju pilihan raya, perhatian politik negara dijangka tertumpu kepada Melaka dalam beberapa minggu akan datang.

Sekiranya DUN Melaka turut dibubarkan dalam masa terdekat, negara bakal menyaksikan tiga pilihan raya negeri berlangsung dalam tempoh yang hampir serentak, sekali gus menjadi ujian penting terhadap kekuatan parti-parti politik utama menjelang PRU16.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *