Marina Tinggalkan Dunia Politik: Antara Kekecewaan, Sabotaj dan Realiti Kuasa Dalam Parti DAP

Dari Meja Editorial

KEPUTUSAN Marina Ibrahim mahu meninggalkan dunia politik mengejutkan ramai pihak, khususnya penyokong yang melihat beliau sebagai antara wajah muda yang berpotensi besar dalam landskap politik DAP Johor.

Selepas hanya satu penggal berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai mewakili parti chauvinis itu, pengumuman beliau bukan sahaja tidak akan mempertahankan kerusinya, malah memilih untuk terus meninggalkan politik, mengundang pelbagai persoalan.

Secara rasmi, pelbagai alasan boleh diberikan. Namun, dari sudut pemerhatian politik, keputusan drastik seperti ini jarang berlaku tanpa wujudnya rasa kecewa yang mendalam terhadap perjalanan karier politik seseorang.

Marina bukanlah figura yang muncul secara tiba-tiba. Beliau membina nama dan pengaruhnya melalui perjalanan yang panjang, mengharungi pelbagai cabaran sebelum akhirnya berjaya menempatkan diri dalam kelompok pemimpin yang diberi kepercayaan oleh pengundi.

Ketika ramai melihat masa depannya masih cerah, situasi yang berlaku seolah membawa mesej berbeza.

Apa yang lebih menarik perhatian ialah pendedahan kepimpinan parti DAP untuk memindahkan Marina ke kerusi lain – yang disebut-sebut ialah DUN Tiram.

Dalam politik, perpindahan kerusi bukan sesuatu yang luar biasa. Namun, bagi sesetengah pemimpin, ia boleh ditafsirkan sebagai isyarat bahawa kedudukan dan pengaruh mereka tidak lagi mendapat kepercayaan penuh daripada pucuk pimpinan.

Di sinilah bermulanya persepsi bahawa kejayaan Marina mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak dalam parti itu. Dalam organisasi politik yang sarat dengan persaingan dalaman, kemunculan pemimpin muda yang semakin mendapat perhatian sering kali mencetuskan dinamika kuasa yang kompleks. Ada yang melihatnya sebagai aset parti, manakala ada yang mungkin melihatnya sebagai ancaman kepada keseimbangan sedia ada.

Jika benar wujud usaha untuk mengehadkan ruang politik Marina, maka tidak mustahil beliau merasakan dirinya sedang disabotaj secara halus. Politik moden jarang menyaksikan serangan terbuka terhadap rakan sendiri. Sebaliknya, tekanan sering berlaku melalui keputusan organisasi, penyusunan semula kedudukan atau langkah-langkah yang sedikit demi sedikit menghakis pengaruh seseorang pemimpin – lebih lagi pemimpin Melayu dalam DAP.

Dalam keadaan sedemikian, berundur mungkin dianggap pilihan terbaik. Bukan kerana kalah, tetapi kerana enggan terus berada dalam persekitaran yang dirasakan tidak lagi menghargai sumbangannya. Kadangkala, meninggalkan gelanggang adalah cara paling bermaruah untuk mengelakkan luka politik yang lebih dalam.

Hakikat beberapa parti lain dilaporkan mendekatinya menunjukkan Marina masih mempunyai nilai politik yang tinggi. Namun, penolakannya terhadap semua tawaran tersebut memperlihatkan keputusan beliau bukan sekadar meninggalkan sebuah parti, tetapi meninggalkan politik secara keseluruhan.

Kenyataan tegasnya, beliau tidak akan kembali ke dunia politik memberi gambaran betapa mendalamnya kekecewaan yang mungkin sedang ditanggung.

Beliau percaya masih banyak cara untuk berkhidmat kepada masyarakat tanpa memegang jawatan politik, suatu pendirian yang mencerminkan keletihan terhadap permainan kuasa yang sering mewarnai dunia politik.

Dalam usianya yang masih muda, ramai menjangkakan perjalanan politik Marina masih panjang. Potensinya untuk muncul sebagai pemimpin generasi baharu dilihat begitu besar. Namun perjalanan politik tidak sentiasa bergerak mengikut perancangan.

Umpama pepatah Melayu, disangka hujan hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ketika Marina dilihat sedang mendaki menuju kemuncak, langkahnya terhenti sebelum sempat menikmati sepenuhnya pemandangan dari atas.

Sama ada keputusan beliau berpunca daripada pertimbangan peribadi, kekecewaan terhadap parti atau gabungan kedua-duanya, satu perkara yang pasti: politik DAP Johor kehilangan seorang tokoh muda yang sebelum ini dilihat mempunyai masa depan yang cerah, dan bagi ramai pemerhati, persoalan sebenar bukanlah mengapa Marina meninggalkan politik, tetapi apakah yang berlaku sehingga seorang pemimpin muda yang sedang meningkat naik memilih untuk menutup terus pintu politik dalam hidupnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *