Sokong Titah Sultan Selangor, Selari Usaha Tun M Dengan Konsep Payung Besar – Marzuki

PUTRAJAYA – Datuk Wira Marzuki Yahya menyokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru orang Melayu dan umat Islam agar terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan bangsa dan negara.

Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu itu berkata, seruan Tuanku Sultan selari dengan konsep Payung Besar yang pernah diusahakan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi memperkukuh penyatuan orang Melayu.

Menurut beliau, konsep tersebut menekankan kepentingan kesatuan orang Melayu untuk memastikan kuasa politik Melayu dapat mempertahankan Perlembagaan Negara termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai tonggak institusi negara.

“Menerusi konsep itu, Tun Dr. Mahathir turut menekankan betapa pentingnya penyatuan orang Melayu dalam menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perpaduan Melayu bukan sahaja penting dari sudut politik, malah menjadi asas kepada kestabilan negara dan kemakmuran bersama.

Tambah beliau, dengan perpaduan yang kukuh, kuasa politik Melayu dapat digunakan untuk melindungi hak dan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Marzuki turut mengingatkan, tanpa kesatuan, orang Melayu mudah terdedah kepada tekanan dan manipulasi politik yang boleh melemahkan kedudukan bangsa dan negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat mencontohi titah Tuanku dengan memperkukuh nilai hormat-menghormati, mempererat perpaduan dan menolak sebarang bentuk politik yang boleh mencetuskan perpecahan.

“Seruan Tuanku Sultan adalah peringatan bahawa perpaduan Melayu penting bukan sahaja untuk bangsa, tetapi juga demi kestabilan negara dan masa depan generasi akan datang yang lebih aman, makmur dan bersatu padu,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *