Sultan Selangor Titah Wakil Rakyat Hayati Rukun Negara, Saran Wong Siew Ki, Ronnie Liu Hadir ke Dataran Selangor

KUALA LUMPUR — Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan titah supaya semua wakil rakyat di Selangor lebih memahami serta menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara, termasuk aspek penghormatan terhadap Institusi Raja, adab kesopanan dan semangat perpaduan nasional yang menjadi asas pembentukan negara bangsa Malaysia.

Dalam titah yang disiarkan menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office semalam, baginda secara khusus menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki serta bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu mengunjungi Dataran Selangor secara berkala bagi memahami semula sejarah dan falsafah di sebalik pembentukan Rukun Negara.

Baginda bertitah, kedua-dua individu tersebut disarankan hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke lokasi berkenaan untuk membaca dan menghayati kandungan Rukun Negara yang dipaparkan pada Plak Monumen Rukun Negara yang baharu dibina di dataran tersebut.

“Beta juga menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada plak monumen ini.

“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.

“Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda.

Titah berkenaan dilihat sebagai satu peringatan tegas, namun penuh berhemah daripada Sultan Selangor terhadap kepentingan memahami asas-asas kenegaraan, khususnya dalam suasana politik semasa yang sering dicemari polemik melibatkan sensitiviti kaum, agama dan institusi negara.

Baginda turut menegaskan, prinsip-prinsip terkandung dalam Rukun Negara bukan sekadar slogan rasmi yang dibaca dalam majlis kerajaan atau acara tertentu, sebaliknya ia lahir daripada sejarah pahit negara selepas tercetusnya tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Menurut baginda, peristiwa berdarah tersebut menjadi titik penting yang membawa kepada pembentukan ideologi kebangsaan demi memastikan perpaduan rakyat terus dipelihara.

Titah tersebut dizahirkan selepas baginda berkenan berangkat ke Dataran Selangor untuk melihat sendiri pembinaan Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan di hadapan tiang bendera negeri.

Menurut baginda, monumen tersebut dibina dan dipasang oleh Jabatan Kerja Raya Selangor lengkap dengan kemudahan tempat duduk bagi membolehkan orang ramai berhenti dan membaca kandungan Rukun Negara dalam suasana lebih selesa.

Sultan Sharafuddin turut memaklumkan kos pembinaan monumen berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh baginda sendiri sebagai usaha mengangkat semula semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Dengan terbinanya plak monumen ini, Beta ingin mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara.

“Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969,” titah baginda.

Baginda menjelaskan, selepas tercetusnya tragedi tersebut, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai badan pemerintah ketika itu telah berbincang dan merangka satu pendekatan nasional bagi memulihkan hubungan kaum serta membentuk identiti kebangsaan yang lebih kukuh.

“Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai badan pemerintah pada ketika itu telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini,” titah baginda lagi.

Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970 mengandungi lima prinsip utama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Baginda bertitah, kelima-lima prinsip tersebut perlu dijadikan panduan utama oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara terus dipelihara.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut menyeru generasi muda agar tidak memandang ringan sejarah negara dan memahami keamanan yang dikecapi hari ini dibina hasil pengorbanan serta pengalaman pahit masa lalu.

Baginda berharap Dataran Selangor dapat dijadikan lokasi pendidikan sivik dan patriotisme kepada rakyat, khususnya golongan muda supaya mereka lebih memahami sejarah pembentukan negara dan pentingnya menjaga perpaduan nasional.

Titah Sultan Selangor itu turut mendapat perhatian ramai di media sosial dengan pelbagai pihak menyifatkannya sebagai peringatan penting dalam memastikan budaya politik negara tidak melampaui batas sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *