Pelbagai Reaksi Pemimpin PKR Selepas Hadir Program Rafizi – Nik Nazmi

Dari Wartawan ND

PETALING JAYA – Kehadiran beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada majlis pengumuman Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) Ahad lalu, terus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai pendirian mereka terhadap parti.

Susulan itu, beberapa pemimpin tampil memberikan penjelasan sama ada akan kekal bersama PKR atau mengambil haluan politik baharu bersama parti Bersama, manakala ada juga yang memilih untuk melepaskan jawatan dalam parti.

Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menegaskan, beliau tidak akan meletakkan jawatan meskipun dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Rafizi.

Menurutnya, beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat dan tidak sesekali mengkhianati mandat pengundi.

“Perbezaan pandangan atau tindakan tidak sepatutnya dianggap sebagai pengkhianatan. Demokrasi yang matang memerlukan perbezaan diurus dengan hikmah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan politik negara bagi memastikan fokus dapat diberikan kepada pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Rodziah berkata demikian selepas Timbalan Ketua PKR Ampang, Daing Reduan Bachok menggesanya mengosongkan kerusi Parlimen susulan kehadirannya pada program pengambilalihan Bersama oleh Rafizi dan Nik Nazmi.

Selain Rodziah, lima lagi Ahli Parlimen PKR turut hadir pada majlis tersebut iaitu Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), S Kesavan (Sungai Siput), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Dalam perkembangan sama, Ketua PKR Ampang, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet menafikan dakwaan beliau akan keluar parti.

ADUN Lembah Jaya itu menegaskan, beliau kekal bersama PKR dan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan Madani.

“Saya menafikan keluar parti dan kekal bersama PKR dalam menjaga kebajikan rakyat di Lembah Jaya, Ampang dan Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan kerajaan Madani berjaya menstabilkan ekonomi negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan menjelaskan kehadirannya pada program tersebut hanyalah bagi memenuhi jemputan sahabat seperjuangan dan mendengar perkongsian hala tuju politik Rafizi serta Nik Nazmi.

Katanya, beliau menghormati keputusan kedua-dua pemimpin itu untuk mengosongkan kerusi Parlimen dan meninggalkan PKR.

“Saya yakin keputusan yang mereka ambil dibuat selepas pertimbangan menyeluruh, bukan atas kepentingan peribadi semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Ong Kian Ming berpandangan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mempunyai peluang cerah mempertahankan kerusinya sekiranya bertanding di bawah tiket Bersama pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, Lee dilihat aktif menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan mendapat sokongan baik daripada pengundi setempat.

Pada masa sama, Ketua PKR Tuaran, Razeef Rakimin mengumumkan peletakan jawatan daripada semua posisi dalam parti serta keluar PKR berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat tanpa sebarang rasa kecewa atau dendam terhadap parti yang telah disertainya selama dua dekad.

“Tetap terima kasih atas sokongan dan tunjuk ajar sepanjang 20 tahun perjuangan bersama PKR,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *