Marquez, Zarco kemalangan di GP Catalan

BARCELONA – Alex Marquez dan Johann Zarco terpaksa dirawat di hospital selepas cedera akibat dua kemalangan ngeri berasingan yang menyebabkan Grand Prix Catalan dihentikan dua kali dengan bendera merah, semalam.

Pelumba Gresini Racing, Marquez gagal mengelak motosikal Pedro Acosta yang kehilangan kuasa sebelum merempuh jentera KTM itu dari belakang.

Insiden itu menyebabkan Marquez tercampak ke arah dinding sebelum melambung beberapa kali di kawasan kerikil.

Pelumba Sepanyol itu segera dikejarkan ke hospital dan pemeriksaan mengesahkan dia mengalami retak kecil pada tulang belakang berhampiran leher selain patah tulang selangka kanan. Dia menjalani pembedahan lewat malam tadi.

“Semua terkawal. Saya akan menjalani pembedahan malam ini, tetapi saya berada di tangga terbaik.

“Terima kasih atas semua sokongan dan mesej yang diberikan,” kata Marquez menerusi media sosial X.

Selepas perlumbaan dimulakan semula, pelumba LCR Honda, Zarco terbabit dalam satu lagi kemalangan apabila membrek terlalu lewat di selekoh pertama pada pusingan pembukaan sehingga melanggar motosikal Francesco Bagnaia dan Luca Marini dalam pelanggaran tiga penjuru.

Bagnaia dan Marini segera meminta bantuan petugas litar selepas Zarco tergelincir di atas gravel dengan kakinya tersangkut pada motosikal Bagnaia.

“Jangan risau, kami masih menunggu keputusan ujian penuh. Saya memakai pendakap leher tetapi ia lebih kepada langkah berjaga-jaga.

“Masalah utama ialah lutut kerana ligamen sudah koyak. Namun tulang femur tidak patah. Hanya ada retak kecil pada bahagian bawah fibula di buku lali kiri.

“Saya akan terus memaklumkan perkembangan terkini. Saya akan bermalam di hospital kerana doktor mahu memantau keadaan saya,” kata Zarco menerusi Instagram.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *