KUALA TERENGGANU – Aksi penuh dramatik mewarnai minggu kedua saingan kumpulan kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 musim ini setelah Terengganu selaku tuan rumah mencatat kemenangan tipis 45-43 ke atas Kelantan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.
Terdahulu, perlawanan dimulakan dengan suasana penuh emosi apabila kedua-dua pasukan bersama penyokong bertafakur selama seminit bagi mengenang pemergian pemain Kelantan, Allahyarham Mohamad Khairul Abdillah Ramli atau Myko, yang meninggal dunia pada 10 Mei lalu sehari selepas aksi pembukaan.
Kelantan hadir dengan reputasi besar musim ini tampil garang seawal minit pertama dengan jatuhan try oleh bekas pemain kebangsaan Mohamad Shah Izwan Nordin, disusuli tendangan conversion Muhammad Nafis Mohd Salleh untuk mendahului 7-0.

Selang empat minit kemudian, tiga mata pertama milik tuan rumah di bawah kendalian ketua jurulatih Hafiizh Zainal berjaya dikutip oleh Muhammad Faizal Md. Tahir melalui tendangan penalti dan seterusnya tambahan 10 mata lagi memberi saingan. Namun Kelantan terus menekan dengan tambahan tiga try dan tiga conversion sehingga tamat separuh masa pertama dengan kelebihan 28-13.
Babak kedua menyaksikan kebangkitan luar biasa Terengganu untuk terus menakluk penguasaan padang sekaligus mendahului permainan 39-36 pada minit ke-63. Kedudukan semakin memihak kepada tuan rumah selepas penalti tambahan hasil kad kuning yang diterima pemain import Kelantan, Ratu Etuate Veidreyaki, menjadikan skor 42-36.
Namun Kelantan tidak mudah menyerah, kembali memintas mendahului permainan 43-42 selepas mendapatkan 7 mata penuh melalui jatuhan try dan conversion. Ketika masa semakin suntuk, Terengganu kembali merapatkan jurang untuk mendahului permainan 45-43 dengan tambahan 3 mata melalui tendangan penalti oleh bekas kapten kebangsaan Mohamad Nasharuddin Ismail.

Menyedari baki permainan di minit-minit akhir dengan kelebihan tipis, tuan rumah mengatur taktikal untuk penguasaan penuh kawalan bola agar tidak terlepas sehingga wisel tamat permainan ditiupkan sekaligus menoktahkan perlawanan penuh debaran memihak kepada Terengganu.
Selepas kejayaan ini, Terengganu bakal berdepan juara bertahan PDRM pada 30 Mei di PULAPOL, Kuala Lumpur. Kelantan pula akan meneruskan cabaran menentang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hujung minggu depan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L