Oleh: Nawwar Hafidz Rahimi
SEREMBAN – Seramai 300 mahasiswa menyertai program Health Talk: Discover The Gut And Intestines anjuran Kelab Prime Mover Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban dengan kerjasama Yakult Malaysia bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan sistem penghadaman dan amalan gaya hidup sihat.
Program yang berlangsung di Dewan Tok Puan Sungei Ujong 2 (TPSU 2), UiTM Kampus Seremban itu memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai penjagaan kesihatan usus serta kaitannya dengan kesejahteraan tubuh secara menyeluruh.
Menerusi ceramah bertajuk ‘What Do You Know About Your Intestines’, peserta didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan kesihatan usus termasuk kepentingan keseimbangan bakteria dalam gut microbiota terhadap sistem tubuh manusia.

Penceramah daripada Yakult Malaysia, Cik Liew Wan Hui berkata, golongan remaja dan belia khususnya mahasiswa universiti berdepan risiko gangguan kesihatan usus akibat perubahan gaya hidup yang tidak sihat.
Menurut beliau, tekanan akademik, pola tidur tidak teratur serta pengambilan makanan segera dan kurang serat menjadi antara faktor utama yang boleh menjejaskan sistem penghadaman pada usia muda.
Katanya, pengabaian terhadap kesihatan usus boleh mengundang pelbagai penyakit termasuk Sindrom Usus Rengsa (IBS), penyakit radang usus, obesiti serta kelemahan sistem imunisasi.
“Malah, persekitaran usus yang tidak sihat juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental menerusi gangguan pada sistem paksi usus-otak atau gut-brain axis,” katanya ketika menyampaikan ceramah.
Selain itu, peserta turut diperkenalkan dengan fungsi probiotik dan kepentingannya dalam membantu mengekalkan keseimbangan sistem pencernaan serta mencegah penyakit berkaitan usus.
Turut menarik perhatian peserta ialah perkongsian mengenai kandungan bakteria baik Lactobacillus casei Shirota strain dalam minuman Yakult yang dikatakan bermanfaat untuk penjagaan kesihatan usus.

Program berkenaan turut menampilkan tayangan Virtual Factory Tour Video bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai proses penghasilan produk Yakult di Malaysia.
Ceramah tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab bersama peserta serta sesi fotografi.
Sementara itu, Pengarah Program, Syazwan Ariff bin Syahrul Nazry berkata, program itu diharap dapat meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai kepentingan penjagaan kesihatan usus dalam kehidupan harian.
Penasihat program, Khairolizwan Harry pula berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan mahasiswa yang lebih peka terhadap kesihatan diri dan kesejahteraan tubuh secara menyeluruh.
Program tersebut merupakan antara inisiatif Kelab Prime Mover UiTM dalam memperkukuhkan budaya ilmu serta kesedaran kesihatan dalam kalangan mahasiswa UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.
Nawwar Hafidz Rahimi adalah Exco Penerbitan Artikel Dan Media Massa, Kelab Prime Mover Uitm, Uitm Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L