Bekas PM Thailand, Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara hari ini

BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dijangka dibebaskan lebih awal dari penjara pada Isnin (11 Mei), sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan kembalinya tokoh politik berpengaruh itu ke arus perdana politik negara.

Tokoh berusia 76 tahun dan jutawan telekomunikasi itu sedang menjalani hukuman penjara selama setahun atas kesalahan rasuah sejak September lalu. 

Beliau akan dibebaskan secara parol pada pagi Isnin dengan syarat memakai alat pemantauan elektronik sehingga tempoh percubaan selama empat bulan berakhir.

Sepanjang dua dekad lalu, pengaruh politik Thaksin menjadi pencabar utama kepada golongan elit pro-tentera dan pro-monarki Thailand, yang melihat pendekatan populis beliau sebagai ancaman kepada susunan sosial tradisional negara itu.

Partinya, Pheu Thai, termasuk beberapa jelmaan parti terdahulu, merupakan antara parti paling berjaya di Thailand pada abad ke-21. 

Keluarga Shinawatra melahirkan empat Perdana Menteri dan menikmati sokongan meluas khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar.

Bagaimanapun, Pheu Thai mencatat keputusan terburuk dalam sejarahnya pada pilihan raya Februari lalu apabila jatuh ke kedudukan ketiga, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan legasi politik keluarga Shinawatra.

Namun, penyertaan Pheu Thai dalam kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri konservatif, Anutin Charnvirakul, membuka kemungkinan kebangkitan politik semula tokoh itu.

Bagi penyokong setia Thaksin, pembebasannya dijangka memberi kesan positif jangka pendek kepada Pheu Thai. 

Pensyarah sains politik, Wanwichit Boonprong berkata, penyokong akan merasakan bahawa “pemilik sebenar Pheu Thai telah kembali.”

Namun, katanya, musuh lama Thaksin dalam kalangan golongan konservatif dijangka menyokong Anutin, yang menurutnya mempunyai kelebihan iaitu kepercayaan golongan elit – sesuatu yang tiada pada Thaksin.

Golongan konservatif anti-Thaksin juga dijangka bersatu dan menumpukan perhatian kepada langkah seterusnya bekas perdana menteri itu, termasuk sama ada beliau akan terus menjauhkan diri daripada politik.

Dibebaskan secara parol

Jabatan Penjara Thailand mengumumkan pembebasan Thaksin secara parol bulan lalu dengan mengambil kira faktor usia serta baki hukuman yang kurang daripada setahun.

Thaksin dipenjarakan selepas Mahkamah Agung memutuskan tahun lalu bahawa beliau telah menjalani hukuman secara tidak wajar apabila ditempatkan di bilik hospital dan bukannya sel penjara bagi hukuman yang dijatuhkan pada 2023.

Beliau pertama kali dipilih sebagai Perdana Menteri pada 2001 dan sekali lagi pada 2005, sebelum mengasingkan diri ke luar negara selepas penggal keduanya digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.

Sekembalinya ke Thailand pada Ogos 2023, Thaksin dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Namun, atas alasan kesihatan, beliau ditempatkan di bilik hospital persendirian dan hukuman tersebut kemudian dikurangkan kepada setahun melalui pengampunan diraja. 

Beliau turut layak untuk pembebasan awal menerusi skim khas banduan warga emas.

Waktu kepulangan Thaksin serta pemindahannya ke hospital, yang berlaku serentak dengan pembentukan kerajaan baharu oleh Pheu Thai, mencetuskan syak wasangka awam berhubung kemungkinan rundingan sulit serta layanan istimewa.

Mahkamah Agung pada September lalu memutuskan bahawa Thaksin tidak mengalami masalah kesihatan kritikal dan tempoh beliau dirawat di hospital tidak boleh dikira sebagai sebahagian daripada tempoh hukuman, sekali gus menyebabkan beliau kembali menjalani hukuman penjara selama setahun.

Thaksin merupakan antara lebih 850 banduan yang diluluskan untuk pembebasan awal.

Anaknya, bekas Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra memberitahu media pada Khamis selepas bertemu Thaksin di penjara bahawa mereka “tidak membincangkan sebarang perkara berkaitan politik” dan perbualan mereka tertumpu kepada urusan keluarga.

Dalam perkembangan berkaitan, anak saudara Thaksin, Yodchanan Wongsawat, yang dinamakan sebagai calon utama Pheu Thai menjelang pilihan raya Februari lalu, telah dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam kabinet pimpinan Anutin. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *