Kerajaan Digesa Teliti Semula Festival Muzik Air, Elak Jejas Nilai Budaya dan Pembangunan Belia

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menilai semula kewajaran penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 susulan kebimbangan terhadap kesesuaiannya dengan budaya dan norma masyarakat tempatan.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya memandang serius penganjuran festival berkenaan yang dilihat membawa konsep hiburan import yang tidak mencerminkan identiti serta nilai tradisional Malaysia.

Menurut beliau, kandungan dan bentuk acara yang dipersembahkan dalam festival itu turut menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya selepas beberapa rakaman yang tular di media sosial menunjukkan suasana menyerupai acara kelab malam di ruang terbuka.

“Keadaan ini jelas memperlihatkan unsur budaya asing yang tidak selari dengan norma tempatan, malah boleh menimbulkan persepsi kurang sihat terhadap bentuk hiburan yang dibenarkan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan, sebahagian pengisian festival tersebut berpotensi memberi kesan negatif terhadap pembangunan sahsiah golongan muda, khususnya dalam usaha membentuk generasi yang berdaya tahan dan berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Sehubungan itu, Amanah menggesa kerajaan supaya melakukan penelitian menyeluruh terhadap konsep, kandungan serta garis panduan penganjuran festival berkenaan, lebih lagi ia dilaporkan berlangsung di beberapa negeri termasuk Kedah, Terengganu, Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Penambahbaikan perlu dibuat agar sebarang acara hiburan yang dianjurkan kekal selari dengan nilai tempatan tanpa menjejaskan usaha negara dalam menarik kehadiran pelancong,” ujarnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *