Syarikat teksi disiasat selepas nahas kereta api di Indonesia ragut nyawa 15 orang

JAKARTA – Kementerian Pengangkutan Indonesia memanggil sebuah syarikat pengendali teksi untuk disoal siasat berikutan laporan sebuah teksi terlibat dalam urutan kejadian yang membawa kepada perlanggaran kereta api di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat, yang mengorbankan 15 penumpang.

Ketua Pengarah Pengangkutan Darat, Aan Suhanan berkata, pihak pengurusan syarikat teksi e-panggilan Green SM Indonesia dipanggil untuk memberikan penjelasan.

“Kami menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat lebih lanjut penglibatan teksi Green SM, termasuk aspek pelesenan, kelengkapan pentadbiran, piawaian keselamatan dan pematuhan terhadap peraturan operasi pengangkutan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Agensi Berita Antara, perlanggaran itu berpunca daripada sebuah teksi yang berhenti di atau berhampiran lintasan kereta api, mengganggu pergerakan tren sebelum insiden berlaku pada Isnin malam.

Laporan itu menyatakan, sebuah tren komuter terpaksa berhenti sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah tren jarak jauh di landasan yang sama.

Sebelum ini, Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta, Desiana Kartika Bahari berkata, 85 mangsa terselamat termasuk mereka yang sedang menerima rawatan dan yang dibenarkan pulang dengan kecederaan ringan.

Aan berkata, teksi yang terlibat didaftarkan secara sah dan mempunyai permit operasi yang sah sehingga Oktober 2026, namun pihak berkuasa akan menjalankan audit lanjut terhadap sistem pengurusan keselamatan syarikat itu.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Badan Nasional Mencari dan Menyelamat (Basarnas), Mohammad Syafii berkata, operasi menyelamat dan pemindahan telah selesai dalam tempoh kurang 12 jam, berakhir pada 8 pagi Selasa.

Beliau berkata, prosedur ketat akan terus dilaksanakan semasa proses pembersihan sisa perlanggaran. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *