SHAH ALAM – Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat berlandaskan latar belakang kukuh beliau dalam bidang kehakiman serta pengalaman luas mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi dalam sistem perundangan negara.
Sebelum ini, Abdul Halim berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, di mana beliau banyak mengendalikan kes jenayah berat termasuk pembunuhan, kesalahan seksual dan rayuan berkaitan isu keselamatan serta ketenteraman awam.
Pengalaman itu menjadikan beliau antara tokoh kehakiman yang berpengalaman luas serta berwibawa dalam mentafsir dan melaksanakan undang-undang.
Kerjaya kehakiman beliau turut merangkumi perkhidmatan sebagai hakim di Johor antara tahun 2011 hingga 2013 sebelum dinaikkan ke Mahkamah Tinggi.
Sepanjang tempoh itu, beliau membina reputasi sebagai hakim yang tegas, teliti serta berpegang kepada prinsip keadilan dan integriti dalam setiap penghakiman.
Sepanjang perkhidmatannya, Abdul Halim telah mengendalikan pelbagai kes penting yang mencerminkan ketegasan beliau dalam menegakkan undang-undang.
Antaranya, pada 25 Mac 2022, beliau menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap seorang peniaga selepas didapati bersalah membunuh kekasih ibunya.
Selain itu, pada 20 Ogos 2021, beliau menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut yang disabitkan kesalahan membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan.
Dalam penghakimannya, beliau menyifatkan perbuatan tersebut sebagai amat kejam memandangkan mangsa bukan sahaja mengalami kecederaan serius, malah turut didera secara seksual.
Pada 24 Oktober 2019 pula, Abdul Halim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tiga lelaki selepas didapati bersalah membunuh seorang mangsa dalam kejadian yang berlaku beberapa tahun sebelumnya.
Sementara itu, pada 9 Julai 2019, beliau menolak rayuan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menerbitkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Selangor.
Dalam kes lain, pada 28 Februari 2017, beliau mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Abdul Hanan Alang Endut, daripada 10 pertuduhan rasuah melibatkan jumlah RM59,390.
Lebih awal, pada 21 Ogos 2015, beliau turut menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang ketua kongsi gelap selepas didapati bersalah membunuh seorang mekanik, sekali gus menegaskan pendekatan tegas beliau terhadap jenayah berat.
Rekod penghakiman yang konsisten serta pengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi ini mengukuhkan lagi kredibiliti Abdul Halim sebagai tokoh berintegriti tinggi.
Pelantikan beliau ke jawatan tertinggi SPRM dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh usaha membanteras rasuah serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan undang-undang negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L