Oleh Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan & Dr. Afiqah Mior Kamarulbaid

KETEGANGAN geopolitik global kembali memuncak apabila konflik antara Amerika Syarikat (AS) – Israel dengan Iran terus berlarutan, menyaksikan pertukaran serangan dan tindakan balas yang seakan berlanjutan.
Perkembangan ini bukan sahaja meningkatkan risiko ketidakstabilan di rantau Timur Tengah, malah turut memberi kesan kepada ekonomi global, khususnya industri pelancongan antarabangsa yang sangat sensitif terhadap faktor keselamatan dan ketidakstabilan politik.
Dalam dunia pelancongan, persepsi terhadap keselamatan merupakan faktor yang amat penting. Apabila konflik tercetus di sesuatu rantau, kesannya sering melangkaui sempadan negara yang terlibat dan memberi tempias kepada destinasi lain.
Keadaan ini lazimnya mendorong banyak negara mengeluarkan amaran perjalanan, syarikat penerbangan menyusun semula atau membatalkan penerbangan, manakala pelancong pula memilih untuk menangguhkan atau menukar rancangan perjalanan mereka ke destinasi yang dianggap lebih selamat.
Kesan kepada industri pelancongan
Akibat konflik tersebut, banyak penerbangan di Timur Tengah terpaksa dibatalkan kerana penutupan ruang udara kerana risiko keselamatan. Hal ini dijangka memberi kesan ketara kepada industri pelancongan di rantau tersebut.
Penganalisis industri pelancongan meramalkan jumlah ketibaan pelancong ke Timur Tengah boleh merosot di antara 11 hingga 27 peratus pada tahun ini. Jika keadaan ini berlarutan, rantau tersebut berpotensi kehilangan sehingga 38 juta pelawat antarabangsa, sekali gus menjejaskan pendapatan sektor tersebut yang bernilai puluhan bilion dolar.
Keadaan ini menunjukkan betapa sensitifnya industri pelancongan terhadap ketidakstabilan geopolitik di sesuatu rantau.
Walau bagaimanapun, dalam setiap krisis global sering muncul peluang baharu kepada destinasi yang dilihat lebih stabil dan selamat. Apabila pelancong mula mengelakkan kawasan yang dilanda konflik, mereka lazimnya akan mencari alternatif lain yang menawarkan suasana percutian yang lebih tenang dan terjamin.
Pilihan pelancong
Dalam konteks ini, negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia berpotensi menerima limpahan pelancong yang sebelum ini merancang untuk bercuti di Timur Tengah atau kawasan sekitarnya.
Menurut penganalisis industri pelancongan, destinasi seperti Kuala Lumpur dan Singapura berkemungkinan mendapat manfaat daripada perubahan aliran perjalanan global yang dipengaruhi oleh konflik tersebut.
Negara kita memiliki banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan dalam situasi ini. Malaysia terkenal sebagai destinasi yang harmoni dan aman, mempunyai infrastruktur pelancongan yang baik serta menawarkan kepelbagaian pengalaman pelancongan seperti warisan sejarah, ekopelancongan dan keindahan pulau-pulau tropika.
Ditambah dengan status sebagai destinasi pelancongan Islam pertama di dunia, ketegangan politik Timur Tengah dijangka mampu membawa implikasi positif kepada negara.
Destinasi seperti Langkawi, Melaka, Sabah dan Sarawak terus menjadi tarikan kepada pelancong antarabangsa yang mencari pengalaman pelancongan yang selamat dan berkualiti.
Namun begitu, Malaysia juga tidak terkecuali daripada tempias tidak langsung konflik tersebut. Ketegangan geopolitik lazimnya mendorong peningkatan harga minyak global serta kos operasi penerbangan, sekali gus menjadikan perjalanan antarabangsa lebih mahal.
Selain itu, gangguan laluan udara di Timur Tengah memaksa pesawat mengambil laluan alternatif yang lebih jauh, sekali gus memanjangkan tempoh penerbangan antara Eropah dan Asia serta menjejaskan jadual dan kos operasi syarikat penerbangan antarabangsa.
Strategi pemasaran
Maka, pihak industri pelancongan Malaysia perlu bersedia menghadapi dunia yang semakin tidak menentu. Strategi pemasaran pelancongan melalui inisiatif Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 perlu menekankan imej Malaysia sebagai destinasi yang selamat, stabil dan mesra pelancong.
Strategi ini juga boleh disokong dengan memperkukuhkan promosi digital, memperkenalkan pakej pelancongan dengan harga mampu milik serta memperluaskan kerjasama di antara Kerajaan, industri pelancongan dan komuniti tempatan.
Selain menarik pelancong antarabangsa, usaha ini mampu menggalakkan rakyat Malaysia untuk meneroka destinasi dalam negara yang sebelum ini mungkin kurang mendapat perhatian.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, kekuatan pelancongan domestik dan strategi promosi yang berkesan menjadi kunci kepada daya tahan sektor pelancongan Malaysia.
Kesimpulannya, konflik di Timur Tengah sememangnya memberi tekanan kepada industri pelancongan global, namun bagi Malaysia, situasi ini membuka ruang sebagai “pedang bermata dua”.
Dengan strategi yang tepat dan perancangan yang teliti, Malaysia bukan sahaja berupaya meminimumkan kesan negatif ketegangan geopolitik, malah berpotensi memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan yang stabil, selamat dan diyakini oleh pelancong antarabangsa.
Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan ialah Pensyarah Pengurusan dan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
Dr. Afiqah Kamarul ialah Pensyarah Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L