Kerajaan Perlu Pelan Jelas Hadapi Risiko Kegawatan Ekonomi Global — Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi kemungkinan kegawatan ekonomi global susulan ketidakstabilan geopolitik di Timur Tengah.

Beliau berkata, Perutusan Khas Perdana Menteri pada 26 Mac lalu mengesahkan kebimbangan rakyat bahawa keadaan ekonomi semakin mencabar, namun gagal memberikan keyakinan kerajaan mempunyai pelan yang jelas, tersusun dan segera.

Menurutnya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada risiko kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan serta tekanan inflasi yang semakin meningkat.

“Persoalannya, adakah kerajaan benar-benar bersedia?” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muhyiddin turut mempersoalkan langkah kerajaan seperti penyelarasan BUDI95 dan kawalan diesel yang lebih bersifat pentadbiran semata-mata, tanpa menangani isu asas keterjaminan bekalan tenaga negara.

“Rakyat berhak mengetahui tahap sebenar rizab, tempoh ketahanan bekalan serta pelan kontingensi sekiranya berlaku gangguan besar,” katanya.

Beliau menambah, kenyataan Malaysia berada dalam keadaan “lebih baik” tidak memadai tanpa penjelasan terperinci, malah usaha membawa pulang kapal minyak dari Iran menimbulkan persoalan baharu mengenai tahap risiko sebenar terhadap bekalan tenaga negara.

Dalam masa sama, beliau meminta kerajaan menjelaskan jumlah hasil yang diperoleh Petronas susulan kenaikan harga minyak dunia serta sejauh mana hasil tersebut boleh disalurkan semula kepada rakyat bagi mengawal kenaikan harga bahan api.

Muhyiddin turut menyifatkan kenyataan kerajaan bahawa 90 peratus rakyat tidak terjejas sebagai mengelirukan.

“Hakikatnya, kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos dalam rantaian bekalan dan seterusnya menyebabkan harga barangan keperluan harian naik. Ini bermakna 100 peratus rakyat terjejas,” tegasnya.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan yang masih bersifat “sedang difikirkan” amat membimbangkan ketika rakyat memerlukan kepastian, garis masa serta tindakan konkrit.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya segera mengaktifkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berstatus krisis yang bersidang secara harian dengan penglibatan sektor awam dan swasta.

Langkah itu, katanya, penting bagi memantau perkembangan global dan menyusun tindak balas pantas serta bersepadu seperti yang pernah dilaksanakan ketika krisis ekonomi 1997–1998, 2008 serta pandemik COVID-19.

Selain itu, beliau mencadangkan agar pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan bagi melindungi sektor kritikal dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya kesan terhadap rakyat dan ekonomi dapat diminimumkan.

“Apa yang diperlukan rakyat ialah halatuju ekonomi yang jelas merangkumi strategi menangani inflasi, jaminan bekalan makanan dan tenaga serta perlindungan terhadap pendapatan dan kelangsungan perniagaan tempatan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, dalam situasi genting, kepimpinan negara mesti tegas dan jelas kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan menghakis keyakinan rakyat dan pasaran terhadap keupayaan kerajaan mengurus krisis.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *