Iran ugut musnahkan infrastruktur tenaga, air negara Teluk

BAITULMAQDIS – Iran menegaskan akan menyerang sistem tenaga dan air negara Teluk balas jika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melaksanakan ancaman untuk menyerang grid elektrik negara itu dalam 48 jam.

Amaran itu secara langsung meningkatkan lagi ketegangan dalam perang yang kini memasuki minggu ketiga.

Kemungkinan serangan balas terhadap infrastruktur awam dijangka menggoncangkan pasaran global apabila ia dibuka semula hari ini.

Serangan itu turut mengancam kehidupan jutaan penduduk di rantau itu, yang

dalam banyak kes bergantung hampir sepenuhnya kepada loji penyahgaraman air untuk bekalan air.

Trump membuat ugutan itu pada jam 7.44 malam Waktu Timur AS semalam, yang bermaksud tempoh akhir diberikannya ialah hingga malam ini.

Namun, beliau turut memberi bayangan AS mungkin sedang mempertimbangkan untuk meredakan konflik, walaupun pasukan marin dan kapal pendaratan berat sedang menuju ke rantau berkenaan.

Jurucakap tentera Iran, Ebrahim Zolfaqari, berkata sekiranya infrastruktur bahan api dan tenaga Iran diserang oleh musuh, maka semua infrastruktur tenaga, teknologi maklumat serta kemudahan penyahgaraman air milik AS dan rejim di rantau itu akan menjadi sasaran, selaras dengan amaran terdahulu.

Walaupun serangan terhadap bekalan elektrik boleh menjejaskan Iran, namun kesannya dijangka lebih dahsyat kepada negara Teluk yang menggunakan tenaga elektrik sekitar lima kali lebih tinggi per kapita.

Bekalan elektrik menjadikan bandar moden di padang pasir itu boleh didiami, termasuk menggerakkan loji penyahgaraman yang menghasilkan 100 peratus bekalan air di Bahrain dan Qatar.

Kemudahan itu turut membekalkan lebih 80 peratus air minuman di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sekitar 50 peratus bekalan air di Arab Saudi.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, turut menegaskan bahawa infrastruktur kritikal dan kemudahan tenaga di Asia Barat boleh musnah sehingga tahap tidak boleh dipulihkan sekiranya loji janakuasa Iran diserang.

Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pula berkata laluan perkapalan utama, yang menyaksikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair dunia melalui pantai selatan Iran, akan terus ditutup.

“Selat Hormuz akan ditutup sepenuhnya dan tidak akan dibuka sehingga loji janakuasa kami yang musnah dibina semula,” menurut kenyataan berkenaan.

Lebih 2,000 orang dilaporkan terbunuh sejak perang yang dilancarkan AS dan Israel pada 28 Februari lalu.

Perang itu turut menggoncang pasaran, melonjakkan harga bahan api, mencetuskan kebimbangan inflasi global dan menggugat pakatan Barat pasca perang.

Konflik itu turut berlaku serentak dengan ketegangan antara Israel dan kumpulan Hizbullah di Lubnan yang disokong Iran, dengan Israel memaklumkan tenteranya sudah menyerbu beberapa lokasi kumpulan bersenjata itu di selatan Lubnan.

Jurucakap tentera Israel, Brigedier Jeneral Effie Defrin, berkata Israel akan terus melancarkan serangan tanpa henti ke atas Iran dan menjangkakan pertempuran selama beberapa minggu lagi membabitkan Iran dan Hizbullah.

Sementara itu, sejak awal pagi semalam, siren amaran serangan udara kedengaran di seluruh Israel, memberi amaran mengenai peluru berpandu dari Iran.

Terdahulu puluhan orang cedera dalam dua serangan berasingan di bandar selatan Israel, Arad dan Dimona.

Beberapa jam kemudian tentera Israel memberitahu melancarkan serangan ke atas Tehran sebagai tindak balas. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *