KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa rakyat menyambut Aidilfitri tahun ini secara sederhana dan berhemah susulan ketegangan geopolitik yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi global.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti berkenaan petang semalam.
Menurut beliau, saranan tersebut selaras dengan pandangan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar langkah penjimatan diambil berikutan konflik yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
“Amanah mengambil maklum saranan kerajaan supaya langkah berjimat cermat diamalkan dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
“Sehubungan itu, semua organisasi Amanah di setiap peringkat serta ahli-ahli parti disaran menyambut Aidilfitri secara berhemah dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Amanah menegaskan pendirian peperangan yang sedang berlaku perlu dihentikan segera bagi mengelakkan kesan lebih besar kepada kestabilan ekonomi dunia.
Menurut Faiz, keamanan di rantau Timur Tengah termasuk di Palestin perlu dipulihkan dengan segera kerana konflik berterusan boleh memberi impak besar terhadap ekonomi global.
“Amanah berpandangan sekiranya peperangan ini berlarutan, Malaysia juga berpotensi berdepan situasi ekonomi yang lebih mencabar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pihak pembangkang agar tidak mempolitikkan konflik yang sedang berlaku demi kepentingan politik sempit.
Katanya, kenaikan harga minyak ketika ini merupakan kesan global susulan konflik antarabangsa, namun Amanah yakin kerajaan Madani akan mengambil langkah sewajarnya untuk menstabilkan harga minyak dalam negara.
“Rakyat juga diseru untuk bersama kerajaan Madani membuat persediaan menghadapi sebarang cabaran ekonomi dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L