KUALA LUMPUR – CUCKOO International (MAL) Bhd. dilantik sebagai rakan strategik rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) oleh Tourism Malaysia, sekali gus memperkukuh komitmennya untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan kesejahteraan kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, pelantikan itu selari dengan misi syarikat untuk meningkatkan taraf hidup menerusi integrasi kesejahteraan dalam setiap kediaman.
“Kesihatan ialah asas kepada kebahagiaan. Dengan menyelaraskan pertumbuhan kami bersama agenda nasional seperti TMM2026 dan memperkenalkan HEPI sebagai simbol misi, kami dapat memperluas impak bukan sahaja di kediaman persendirian, malah kepada masyarakat umum,” katanya pada majlis berbuka puasa bertemakan Sebar HEPI, Hargai Setiap Kebahagiaan, yang turut menyaksikan pelancaran maskot pertama syarikat, HEPI, di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis berbuka puasa yang dihoskan oleh Nabil Ahmad, Duta CUCKOO, Datuk Seri Nurhaliza dan juga Phei Yong.
Sebagai rakan sektor swasta utama Tourism Malaysia, CUCKOO Malaysia memperkenalkan tiga inisiatif utama berteraskan kesejahteraan dan budaya.
Pertama, sokongan kepada sektor hospitaliti HORECA (hotel, restoran dan kafe) menerusi tawaran diskaun 50 peratus selama lapan bulan bagi model penapis air terpilih, bagi membantu industri berdepan peningkatan jumlah pelancong sempena TMM2026.
Kedua, kolaborasi bersama kolektif kreatif tempatan, Loka Made untuk menghiasi stesen air CUCKOO di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA dengan lima reka bentuk eksklusif yang menampilkan warisan Malaysia termasuk hidupan liar, makanan, mercu tanda ikonik, kraf tradisional dan buah-buahan tropika.
Karya seni itu turut menampilkan Duta Jenama CUCKOO, Siti Nurhaliza dan Phei Yong bersama maskot HEPI, sebagai naratif visual yang menggabungkan elemen kesihatan dan hospitaliti kepada pelancong.
Ketiga, penghasilan kad ucapan 3D edisi terhad berasaskan karya Loka Made yang akan ditawarkan menerusi promosi hadiah-dengan-pembelian produk CUCKOO.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung, berkata pencapaian lebih 42.2 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada 2025 memberi momentum kukuh bagi menjayakan TMM2026.
“Kolaborasi ini mempergiat usaha kami untuk memposisikan Malaysia sebagai destinasi utama yang mengutamakan kesejahteraan pelawat, selain mempamerkan imej negara yang moden, sihat dan mesra,” katanya.
Dalam mempertingkat pengalaman pelawat di pintu masuk negara, CUCKOO Malaysia turut bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi memasang 96 stesen air di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
Buat julung kalinya, peluasan inisiatif stesen air minuman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif, di mana stesen air itu ditempatkan di dalam kawasan pintu pelepasan Terminal 1, membolehkan penumpang mendapatkan akses mudah kepada air minuman bersih sebelum berlepas, selain menyokong pengurangan penggunaan botol plastik sekali guna.
Sebelum ini, CUCKOO Malaysia sudah memasang penapis air beralkali ringan di 10 lapangan terbang domestik utama termasuk Kota Kinabalu, Langkawi dan Kuching.
Pada majlis sama, syarikat itu turut memperkenalkan HEPI sebagai simbol ‘Pencipta Kediaman Sihat’ yang diinspirasikan daripada perkataan ‘Happy’.
Ketua Pegawai Pemasaran CUCKOO Malaysia, Queenie Goh berkata, pengenalan HEPI melambangkan evolusi jenama dalam memperkasa kesejahteraan dan kebahagiaan secara menyeluruh.
“Melalui kerjasama strategik bersama jenama ikonik dan personaliti berpengaruh, kami mahu memastikan mesej kediaman sihat sampai ke setiap pelosok negara serta memperkasa lebih ramai untuk menjadi #SAMASAMAHealthier,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L