Pemandu 4×4 Rempuh Dua Lelaki Lepas Tembakan di Kapar

KLANG – Dua lelaki cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam satu kejadian dipercayai berkaitan kes tembakan di Taman Seri Kapar, di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu berlaku apabila dua lelaki yang menunggang motosikal didakwa melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tindakan suspek itu disedari oleh seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Menurutnya, pemandu tersebut kemudian bertindak merempuh motosikal ditunggang kedua-dua suspek sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan.

“Insiden itu melibatkan dua lelaki bermotosikal yang melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori.

“Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda yang menyaksikan kejadian itu bertindak merempuh motosikal suspek menyebabkan kedua-dua mereka cedera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, tahap kecederaan dialami kedua suspek belum dapat dipastikan, manakala identiti mereka sedang disemak pihak polis.

Tambahnya, pasukan forensik turut dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi memperincikan kronologi kejadian serta perkembangan siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 13 saat yang memaparkan seorang lelaki terbaring di atas jalan raya, dipercayai berkaitan dengan insiden tembakan berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *