KUALA LUMPUR – Syarikat pakar penyelesaian pembinaan dan kejuruteraan utiliti infrastruktur terkemuka, MN Holdings Bhd. (MN Holdings) umum pencapaian rekod keuntungan tertinggi selepas cukai (PAT) dengan peningkatan 98 peratus kepada RM25.18 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025 (S2 TK2026) berbanding RM12.69 juta pada tempoh sama sebelumnya.
MN Holdings dalam satu kenyataan berkata, hasil syarikat bagi suku berkenaan turut melonjak 94 peratus kepada RM243.55 juta daripada RM125.48 juta. Lonjakan pendapatan ini didorong terutamanya oleh pelaksanaan projek yang dipercepatkan di bawah bahagian kejuruteraan pencawang.
Prestasi yang memberangsangkan ini memperlihatkan segmen kejuruteraan pencawang kekal sebagai enjin pertumbuhan dominan syarikat.
Segmen berkenaan menyumbang RM220.29 juta, yang mewakili kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil, menterjemahkan peningkatan sebanyak 239 peratus tahun ke tahun.
Selain itu, prestasi pendapatan separuh tahun pertama (1H TK2026) turut menunjukkan daya tahan syarikat apabila MN Holdings berjaya mencatatkan hasil kumulatif sebanyak RM457.65 juta, mewakili peningkatan 100 peratus berbanding RM228.59 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh, menyifatkan kejayaan ini sebagai manifestasi keupayaan syarikat mengendalikan projek strategik.
“Prestasi rekod berterusan kami mencerminkan kekuatan saluran projek kami dan keupayaan kami untuk melaksanakan projek infrastruktur berskala besar dan bernilai tinggi dengan cekap,” jelas beliau.
Dalam meninjau prospek jangka panjang syarikat yang didorong oleh sokongan inisiatif infrastruktur makroekonomi, beliau menyatakan keyakinan terhadap trajektori pertumbuhan MN Holdings.
“Memandangkan Malaysia mempercepatkan pelaburan dalam pemodenan grid, integrasi tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur pusat data dan penaiktarafan sistem air, MN Holdings berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang pertumbuhan struktur ini,” tambah beliau.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L