KUALA LUMPUR – Penyedia penyelesaian pengurusan sisa dan kitar semula, Tex Cycle Technology (M) Bhd (Tex Cycle), merekodkan peningkatan drastik Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak 185 peratus kepada RM16.8 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM5.9 juta pada tempoh sama sebelumnya.
Tex Cycle dalam satu kenyataan berkata, hasil syarikat bagi suku berkenaan turut memaparkan lonjakan luar biasa sebanyak 141 peratus kepada RM22.4 juta berbanding RM9.3 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Peningkatan PBT berkenaan disokong kuat oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada bahagian pemulihan dan kitar semula susulan pengambilalihan Meridian World Sdn Bhd, berserta keuntungan nilai saksama ke atas pelaburan dalam sekuriti yang disebut harga.
Secara keseluruhannya bagi tahun kewangan penuh 2025 (TK2025), syarikat mencapai hasil sebanyak RM57.7 juta, yang merupakan peningkatan 59 peratus daripada RM36.2 juta pada TK2024, membuktikan profil pendapatan yang berdaya tahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass menyifatkan TK2025 sebagai tahun transformatif bagi syarikat berkenaan.
Dalam mengulas mengenai lonjakan prestasi ini, beliau berkata, integrasi Meridian telah memperkukuhkan keupayaan pemulihan dan kitar semula kami dengan ketara, sementara inisiatif tenaga boleh diperbaharui kami semakin maju.
Beliau turut menambah bahawa loji pengegasan biojisim syarikat menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan tenaga bersih mereka.
Selain segmen pemulihan, bahagian tenaga boleh diperbaharui terus menjana pendapatan yang stabil kepada syarikat melalui projek Tarif Suapan Solar (FiT) dan inisiatif Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CREPPA).
Melangkah ke hadapan, Tex Cycle kini menajamkan tumpuan kepada aliran sisa niche bernilai tinggi, terutamanya sisa elektronik (e-sisa), bagi menyokong pelanggan korporat dan perindustrian mendapatkan penyelesaian pelupusan yang mematuhi piawaian.
Bagi menyokong pertumbuhan mampan ini, Kumpulan kekal optimistik dengan sasaran cadangan pemindahan penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd yang dijangka siap pada separuh pertama tahun 2026.
Usaha holistik berkenaan seiring dengan penguatkuasaan kawal selia yang diperkukuh serta aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L