Rafizi Diberi Tempoh Hingga Hari Ini Jawab Surat Tunjuk Sebab – Fuziah

KOTA BHARU – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli diberi tempoh sehingga esok untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan parti susulan kenyataannya akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, surat itu telah diberikan kepada Rafizi pada 23 Februari lalu dengan selama lima hari untuk bekas Menteri Ekonomi itu mengemukakan penjelasan rasmi.

Menurutnya, kenyataan Rafizi berhubung hasrat bertanding tanpa menggunakan tiket parti boleh menimbulkan persepsi beliau berkemungkinan mahu meninggalkan PKR, justeru parti mengambil pendekatan berperlembagaan dengan memberi ruang penjelasan terlebih dahulu.

“Beliau menyatakan akan bertanding PRU16 bukan atas tiket PKR. Kenyataan itu mungkin menimbulkan persepsi sama ada beliau berhasrat untuk keluar parti. Jadi, surat tunjuk sebab itu memberi peluang kepada beliau menjelaskan keadaan sebenar.

“Kami tidak mahu mengambil tindakan secara terburu-buru. Sebaiknya kami ikut perlembagaan parti dan proses yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Bazar Ramadan di pekarangan Mydin Tunjong, di sini.

Fuziah turut menegaskan bahawa kepimpinan parti tidak mahu membuat sebarang keputusan tanpa mendengar penjelasan daripada bekas Menteri Ekonomi itu terlebih dahulu.

Katanya, perkara berkenaan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mac ini.

“Pada 1 Mac, kami akan adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat. Keputusan terhadap Rafizi pula, insya-Allah kita akan lihat berdasarkan penjelasan yang diterima dan perbincangan dalam mesyuarat itu,” katanya.

Semalam, Rafizi mengesahkan beliau telah menerima surat tunjuk sebab daripada PKR yang antara lain menyatakan bahawa beliau didakwa telah mengisytiharkan keluar parti melalui kenyataan awamnya.

Isu berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong dan pemerhati politik, memandangkan Rafizi merupakan antara tokoh penting dalam parti serta pernah memegang jawatan kanan dalam Kabinet sebelum ini.

Bagaimanapun, setakat ini beliau belum mengumumkan sebarang keputusan muktamad berhubung kedudukan keahliannya dalam parti.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *