Lima sekeluarga rentung dalam rumah di Raub

RAUB – Lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu jam 3.35 pagi tadi.

“Sejurus pemadaman selesai kita menemui semua mangsa di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua mayat berkenaan akan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya telah tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman kebakaran itu berjaya dikawal pada 4.48 pagi tadi.

Kebakaran berkenaan telah memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain turut membabitkan tiga kereta dan tiga motosikal yang turut terbakar.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki menggunakan sumber air daripada tangki pam jentera bomba,” katanya.

Beliau berkata, sembilan anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Raub terbabit dalam operasi itu, dengan bantuan lima anggota serta satu FRT dari BBP Lipis.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *