RANTAU PANJANG – Tukang karut dikir barat tersohor Kelantan yang mewarnai pentas dikir barat sejak awal 1970-an, kini terlantar di kediamannya di Kampung Gual Tok Deh, dekat sini, selepas disahkan mengalami strok ringan dan jangkitan kuman dalam paru-paru.
Tokoh berkenaan, Abdullah Che Man atau lebih dikenali sebagai Pak Nik Loh Tok Deh, 72, sebelum ini menerima rawatan selama empat hari di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu sebelum dibenarkan pulang.

Menurut anaknya, Mohd Koiry Abdullah, bapanya mengadu sakit pinggang sebelum terjatuh di bilik air dan dihantar ke hospital.
“Doktor mengesahkan ayah mengalami strok ringan serta jangkitan kuman dalam paru-paru. Sekarang ayah tak dapat bercakap dan kaki sebelah kanan juga tak boleh bergerak.
“Ayah juga tak dapat makan kecuali minum susu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.
Sejak lebih lima dekad lalu, beliau bukan sahaja dikenali sebagai tukang karut tersohor dan penyanyi, malah aktif sebagai jurulatih dan pembimbing seni dikir barat.

Pak Nik Loh Tok Deh pernah dijemput menjadi jurulatih di Universiti Malaya (UM) dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun, selain membimbing pasukan dikir barat wanita Rantau Panjang.
Beliau juga mengasaskan kumpulan C-Aura yang dianggotai 29 anak muda dari Kampung Keruh, Kuala Krai, sekali gus membuka ruang kepada generasi baharu mendalami seni warisan itu.

Sepanjang penglibatannya, beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Dikir Barat pada tahun 1998 dan 2006 serta menerima beberapa anugerah pengiktirafan dari Thailand atas sumbangannya memperkasa seni budaya serantau.
Keadaan kesihatannya kini mengundang simpati masyarakat setempat dan penggiat seni yang mendoakan agar beliau kembali pulih seperti sediakala.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L