Rais Yatim, Noh Omar Letak Jawatan, Kecewa Lembaga Disiplin Tak Patuhi MPT

KUALA LUMPUR – Tan Sri Rais Yatim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi sebuah jawatankuasa khas parti yang ditubuhkan bagi memperkukuh perpaduan organisasi itu.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas beberapa pemimpin kanan parti dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan, sekali gus menjejaskan usaha yang sedang digerakkan untuk merapatkan kembali saf kepimpinan.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan tindakan disiplin yang diambil tanpa mengambil kira proses perbincangan dan usaha perdamaian boleh menjejaskan kestabilan parti dalam jangka panjang.

Sementara itu, Tan Sri Noh Omar turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkuat kuasa serta-merta pada 14 Februari lalu.

Keputusan itu dibuat selepas beliau kecewa tindakan Lembaga Disiplin parti yang didakwa tidak menghormati keputusan mesyuarat MPT pada 12 Januari lalu yang menetapkan supaya semua tindakan disiplin ditangguhkan.

Dalam satu video dimuat naik di Facebook, Noh berkata, mesyuarat itu telah memutuskan supaya tindakan hanya diambil terhadap ahli yang membuat kenyataan bertentangan selepas mesyuarat berkenaan, bukan terhadap kenyataan yang dibuat sebelum ia diadakan.

Beliau mempersoalkan mengapa Lembaga Disiplin masih meneruskan tindakan terhadap ahli parti walaupun keputusan penangguhan telah dipersetujui oleh MPT.

Noh juga menjelaskan usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam parti melalui beberapa mesyuarat telah dirancang, tetapi tindakan disiplin diambil sebelum usaha itu dilaksanakan.

Beliau menegaskan, setiap tindakan disiplin mesti dijalankan mengikut peraturan dan perlembagaan parti, dan tiada sesiapa yang sepatutnya melebihi undang-undang tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *