PETALING JAYA – Kerajaan menggalakkan kanak-kanak berusia enam tahun untuk memulakan persekolahan formal dengan memasuki darjah satu bermula tahun depan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan kanak-kanak mendapat pendedahan awal kepada pendidikan formal secara lebih tersusun dan menyeluruh, selaras dengan keperluan pembangunan modal insan pada masa hadapan.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan, pelaksanaan kemasukan murid enam tahun ke darjah satu itu tidak diwajibkan buat masa ini, mengambil kira perbezaan tahap perkembangan dan kesediaan kanak-kanak.
“Kita memahami ada ibu bapa yang merasakan anak mereka belum benar-benar bersedia dari segi emosi, mental atau perkembangan pembelajaran. Oleh itu, kemasukan ke darjah satu pada usia enam tahun masih bersifat galakan, bukan paksaan,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan masih mengekalkan ketetapan sedia ada yang membolehkan kanak-kanak berusia tujuh tahun memasuki darjah satu, namun pada masa sama menggalakkan ibu bapa yang bersedia supaya menghantar anak-anak mereka ke prasekolah seawal usia lima tahun.
“Kita tetapkan masih boleh masuk darjah satu pada usia tujuh tahun, tetapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia supaya anak-anak berusia lima tahun dimasukkan ke prasekolah terlebih dahulu,” jelasnya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan bercadang untuk menambah baik dan menyelaras sistem prasekolah negara dengan meletakkannya di bawah pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan kualiti, kurikulum dan pelaksanaannya lebih teratur.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Jadi, sistem prasekolah itu kita minta Kementerian Pendidikan ambil alih dan selaraskan supaya tidak berlaku perbezaan ketara dari segi kualiti pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.
Tambah beliau, usaha penyelarasan tersebut penting bagi memastikan kesinambungan pembelajaran daripada peringkat prasekolah hingga ke sekolah rendah, sekali gus membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan lebih baik apabila memasuki alam persekolahan formal.
Pelaksanaan cadangan itu dijangka menjadi antara fokus utama dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang bertujuan memperkukuh sistem pendidikan negara secara holistik dan inklusif.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
