MCA Persoal Kredibiliti Pengerusi BN Susulan Kenyataan ‘Pasukan B DAP’

KUALA LUMPUR – MCA mempersoalkan kredibiliti kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) susulan tindakan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mengeluarkan kenyataan mengenai kewujudan “Pasukan B dalam DAP” sebelum menarik balik dakwaan tersebut dalam tempoh singkat.

Naib Presidennya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, tindakan Ahmad Zahid itu disifatkan tidak wajar dan mencerminkan kegagalan kepimpinan di peringkat tertinggi BN, selain menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota gabungan serta rakyat.

Menurut beliau, kenyataan bercanggah dan berubah-ubah bukan sahaja menjejaskan kepercayaan awam, malah mencalar kredibiliti politik BN yang telah dibina sejak sekian lama.

“Sebagai Pengerusi BN, beliau tidak seharusnya membuat kenyataan tanpa pertimbangan, mengeluarkan dakwaan yang tidak disokong fakta dan kemudiannya menarik balik kenyataan tersebut tanpa penjelasan yang meyakinkan.

“Ini adalah satu penghinaan secara langsung terhadap kredibiliti politik BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan turut memberi amaran, kegagalan Ahmad Zahid untuk menilai serta memperbetulkan gaya kepimpinannya boleh menyebabkan BN terus kehilangan sokongan rakyat, sekali gus menjadikan usaha untuk ‘menghidupkan semula BN’ sekadar retorik tanpa tindakan yang bermakna.

Beliau berkata, tindakan Presiden UMNO itu turut mencetuskan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan anggota BN serta rakyat, sekali gus menjadikannya satu liabiliti besar kepada gabungan berkenaan.

“Rakyat memerlukan pemimpin bertanggungjawab, berprinsip dan berwawasan, bukannya seorang Pengerusi BN yang sering berubah-ubah pendirian, mencetuskan kontroversi dan akhirnya membebankan seluruh BN.

“Tindak-tanduk beliau telah menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan anggota BN dan rakyat. Beliau kini menjadi liabiliti terbesar BN,” katanya.

Tambah Tan, tingkah laku kepimpinan yang disifatkan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja merosakkan imej BN di peringkat domestik, malah berpotensi menjadikan gabungan tersebut bahan ejekan di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 dilaporkan mendakwa kenyataan bertentangan yang dikeluarkan oleh kepimpinan utama DAP berpunca daripada kewujudan “Pasukan B” dalam parti berkenaan.

Bagaimanapun, Presiden UMNO itu kemudiannya menarik balik kenyataan tersebut selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menafikan dakwaan berkenaan secara tegas.

Beberapa pemerhati politik berpandangan tindakan berkenaan mencerminkan kelemahan dari segi pertimbangan politik dan mencalarkan imej kepimpinan beliau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *