Bekas Panglima Tentera Darat Direman Tujuh Hari, Dua Isteri Turut Ditahan

PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman seorang bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan projek perolehan TDM.

Selain itu, isteri pertama suspek direman selama tiga hari manakala isteri keduanya direman enam hari bagi membantu siasatan kes sama.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga individu berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM.

Terdahulu, kira-kira jam 10 pagi, bekas Panglima TDM itu dilihat tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya dengan berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari sebelum dibawa ke hadapan majistret bagi prosiding permohonan reman.

Ketiga-tiga suspek dikawal ketat oleh pegawai SPRM sebaik tiba di perkarangan mahkamah.

Sebelum ini, media melaporkan bekas pegawai kanan TDM itu bersama dua isterinya ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu kira-kira jam 7 malam.

Menurut sumber, SPRM sebelum ini telah memanggil pegawai kanan berkenaan untuk memberi keterangan pada 28 Disember tahun lalu, namun beliau tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.

SPRM turut dilaporkan telah hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek perolehan yang melibatkan TDM sejak 2023.

Pada 29 Disember tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa pihaknya telah menyita enam akaun bank milik pegawai berkenaan dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan.

Dua hari sebelum itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan pegawai kanan TDM tersebut telah diarahkan bercuti serta-merta berkuat kuasa dari tarikh ditetapkan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *