Empat ADUN Bersatu Angkat Sumpah Exco Perlis, Menteri Besar Pegang Enam Portfolio

ARAU – Seramai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis pada Khamis.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau kira-kira jam 11.30 pagi.

Empat ADUN berkenaan ialah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Marzita Mansor (Sena), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang).

Izizam dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan, Sumber Manusia serta Modal Insan. Marzita pula mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan, Kebajikan serta Pembasmian Kemiskinan.

Megat Hashirat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar, manakala Wan Zikri Afthar memegang portfolio Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan serta Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli selaku Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang enam portfolio utama iaitu Pentadbiran dan Kewangan; Pelaburan dan Ekonomi; Tanah dan Sumber Asli; Pelancongan dan Seni Budaya; Infrastruktur dan Kemajuan Luar Bandar; serta Keselamatan dan Hubungan Sempadan.

Pada 28 Disember lalu, beliau yang juga ADUN Kuala Perlis mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis kesembilan susulan peletakan jawatan penyandang terdahulu, Abu Bakar Hamzah, yang juga ADUN Sanglang, atas faktor kesihatan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *