AMERIKA SYARIKAT – Donald Trump, figura yang selama ini menjual imej dirinya sebagai “lelaki paling berani di Amerika”, kini kelihatan semakin telus kegusarannya.
Di sebalik retorik keras, gaya sombong dan laungan “America First”, terselit satu hakikat yang sukar disembunyikan, iaitu beliau amat bergantung pada nyawa politik Parti Republikan untuk terus berkuasa.
Tanpa parti itu, Trump bukan singa. Beliau hanya sekadar presiden dengan sejarah panjang kontroversi dan senarai musuh politik yang menunggu masa.
Amaran Trump kepada ahli Republikan, yang beliau “akan dipecat” sekiranya parti itu kalah dalam pilihan raya pertengahan penggal bukanlah amaran kepada musuh, tetapi ugutan kepada sekutu sendiri.
Ini bukan seruan kepimpinan, sebaliknya jeritan cemas seorang pemimpin yang tahu kedudukannya rapuh. Dalam bahasa mudah, mesejnya jelas: “Selamatkan saya, atau kita semua tenggelam bersama.”
Ironinya, Trump cuba menampilkan diri sebagai mangsa keadaan, seolah pemecatan itu satu ketidakadilan politik, bukan akibat logik sistem demokrasi yang beliau sendiri sering hina.
Hakikatnya, jika Demokrat kembali menguasai Kongres, mereka tidak perlu “mencari alasan” untuk bertindak. Alasan itu sudah lama tersedia, lengkap dengan rekod, siasatan dan sejarah pemecatan terdahulu.
Ucapan Trump kepada ahli Republikan di Washington juga mendedahkan paradoks kepimpinannya. Beliau menggesa perpaduan, tetapi dalam masa yang sama menjadikan dirinya pusat segala-galanya.
Parti bukan lagi platform ideologi atau dasar, tetapi perisai peribadi. Republikan tidak diminta berjuang demi negara, tetapi demi kelangsungan politik seorang individu yang pernah dua kali dipecat oleh Dewan Perwakilan.
Lebih sinis, Trump masih berpura-pura hairan mengapa parti pemerintah sering kalah dalam pilihan raya pertengahan penggal. “Saya tak faham apa yang bermain di fikiran rakyat,” katanya.
Kenyataan ini bukan sahaja mencerminkan keangkuhan, malah kegagalan memahami realiti demokrasi. Rakyat bukan peminat setia rancangan realiti TV yang akan terus menyokong watak utama walau apa pun yang berlaku. Mereka menilai, menghukum dan kadangkala muak.
Sementara itu, ahli Republikan di Dewan Perwakilan pula berada dalam dilema klasik, antara kesetiaan membuta tuli dan naluri politik sendiri. Selama ini mereka banyak mengalah, meluluskan perbelanjaan dan dasar mengikut kehendak Trump.
Namun, tanda-tanda pembangkangan mula muncul, termasuk usaha menolak veto presiden berkaitan projek infrastruktur. Ini petunjuk awal, tidak semua sanggup terus menjadi pelindung kepada seorang pemimpin yang melihat parti sebagai alat perlindungan peribadi.
Trump juga bijak memainkan isu budaya, politik gender, penjagaan kesihatan, reformasi pilihan raya, bukan semata-mata kerana kepentingan dasar, tetapi kerana isu ini berfungsi sebagai umpan emosi.
Dalam keadaan kos sara hidup menekan rakyat, beliau menawarkan musuh bayangan untuk dipersalahkan, sambil mempromosikan pentadbiran sendiri sebagai satu-satunya penyelamat.
Akhirnya, ketakutan Trump terhadap pilihan raya pertengahan penggal bukan soal kehilangan kerusi atau prestij politik. Ia soal kelangsungan. Sejarah sudah membuktikan, tanpa perlindungan Senat yang dikuasai Republikan, beliau terdedah sepenuhnya kepada sistem yang selama ini beliau cuba lemahkan.
Dua pemecatan terdahulu bukan kebetulan, tetapi amaran bahawa kuasa Trump sentiasa bersifat pinjaman, dan pinjaman itu boleh ditarik balik.
Maka, seruan Trump kepada Republikan hari ini bukanlah laungan kemenangan, tetapi pengakuan kelemahan. Di sebalik pentas megah dan namanya terpampang di pusat seni, terserlah seorang pemimpin yang tahu: tanpa parti, tanpa majoriti, tanpa perlindungan politik, beliau hanyalah seorang lagi presiden yang menunggu giliran untuk dihakimi sejarah.
Dan, dalam politik Amerika, sejarah jarang bersifat pemaaf.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L