Bali arah roboh lif kaca di tebing pantai selepas timbul pertikaian

JAKARTA – Gabenor Bali mengarahkan perobohan sebuah lif kaca yang masih dalam pembinaan di tebing pantai paling terkenal di pulau itu, susulan bantahan awam selama beberapa minggu serta dapatan pelbagai pelanggaran alam sekitar ,dan pembinaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Gabenor I Wayan Koster pada Ahad mengumumkan, struktur setinggi 180 meter di pulau jiran Nusa Penida itu mesti dirobohkan dalam tempoh enam bulan selepas pihak berkuasa menghentikan kerja pembinaan yang 70 peratus siap pada akhir Oktober berikutan ketiadaan permit dan disyaki melanggar peraturan perancangan.

Lif berkenaan direka untuk membawa pelancong turun ke kawasan tinjau “T-Rex cliff” di Pantai Kelingking, yang tebingnya menyerupai kepala dinosaur. Ia bertujuan menawarkan laluan yang lebih selamat berbanding jalan curam yang sering mencederakan pengunjung.

Namun rangka keluli putih itu menerima kecaman hebat, dengan banyak pihak berhujah, ia merosakkan pemandangan ikonik kawasan berkenaan.

Koster berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk melindungi alam semula jadi, budaya dan nilai sosial Bali, sambil menolak dakwaan keputusan itu tidak mesra pelaburan.

Pemaju projek, PT Indonesia Kaishi Tourism Property Investment Development perlu memulihkan kawasan berkenaan kepada keadaan asal dalam tempoh tiga bulan selepas perobohan.

Bali memerlukan pelaburan, namun ia mesti dijalankan dengan integriti dan tanggungjawab, kata Koster, sambil menambah bahawa pembangunan seharusnya melindungi Bali, bukan mengeksploitasinya. Pulau itu telah lama bergelut dengan tekanan pelancongan massa. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *