Kalendar Akademik 2026 KPM seimbang, tersusun

KUALA LUMPUR – Kalendar Akademik Tahun 2026 yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) dilihat seimbang, tersusun dan dilaksanakan dengan perancangan yang strategik.

Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohamad Zapawi Mamat berkata, langkah itu memberi peluang kepada guru memperkukuh pelaksanaan kurikulum manakala murid mendapat masa mencukupi untuk pembelajaran dan masa cuti penggal.

“Kongres mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada KPM kerana dapat mengeluarkan kalendar akademik awal berbanding sebelumnya.

“Ini menunjukkan keprihatinan pihak KPM bagi memberi peluang kepada pengurusan sekolah untuk merancang takwim tahunan lebih awal,” katanya dipetik laporan Harian Metro.

Menurutnya, pendekatan dua penggal persekolahan seperti tahun sebelumnya dapat mengekalkan kesinambungan pembelajaran selepas pandemik.

“Langkah KPM ini dilihat konsisten dengan amalan tahun sebelumnya, di mana tiada perubahan mendadak pada struktur penggal. Perkara ini dapat membantu kesinambungan dalam sistem pentaksiran, pengurusan program sekolah dan perancangan guru,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) berkata, tarikh mula dan akhir persekolahan ditetapkan dengan jelas, iaitu bermula 11 Januari (Kumpulan A) dan 12 Januari (Kumpulan B), memberi ruang kepada sekolah dan guru membuat perancangan tahunan lebih awal termasuk takwim kokurikulum, peperiksaan dan program sekolah.

“Walaupun dibezakan antara Kumpulan A dan B, (iaitu) selisih tarikh hanya sehari, ini menunjukkan KPM mengekalkan keadilan dalam pembahagian masa pengajaran antara negeri,” katanya.

Pada masa sama, Kongres mencadangkan supaya KPM turut memberi perhatian terhadap penyesuaian cuaca, terutama bagi negeri-negeri di pantai timur pada hujung tahun (November hingga Disember) yang mungkin mengganggu perancangan aktiviti luar dan peperiksaan akhir tahun.

“Kongres berharap jadual peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dalam tahun semasa dikekalkan untuk memudahkan perancangan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan turut menyambut baik pengumuman KPM itu yang diharapkan dapat memberikan kelegaan kepada ibu bapa dan guru.

Katanya, langkah itu memudahkan ibu bapa merancang percutian bersama anak-anak sekali gus mewujudkan kesejahteraan keluarga.

“Guru-guru juga dapat merehatkan minda mereka daripada penat lelah mengurus murid dan peperiksaan pada hujung tahun. Ia secara tidak langsung dapat merancakkan ekonomi dalam sektor pelancongan di dalam negara.

“Pada masa sama, usaha ini dapat memberi ruang kepada guru mempunyai jumlah hari mengajar yang mencukupi untuk membuat perancangan kecemerlangan akademik dan sahsiah murid di sekolah,” katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan mengumumkan Kalendar Akademik Tahun 2026 bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan di bawah KPM akan bermula pada 11 Januari hingga 31 Disember bagi negeri Kumpulan A (Kedah, Kelantan dan Terengganu).

Bagi negeri Kumpulan B iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, sesi persekolahan akan bermula 12 Januari hingga 31 Disember. – Harian Metro

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *