MCA Jangan Politikkan Larangan Penjualan Arak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)

“Diplomasi Hikmah Anwar Kemudi Sidang Kemuncak ASEAN”

KUALA LUMPUR – Parti Amanah mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN atas kejayaan cemerlang memimpin sidang kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Kepimpinan Anwar telah membuktikan kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) bahawa rantau ASEAN mampu menjadi contoh wilayah yang kekal aman dengan usaha Pengerusi ASEAN menamatkan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja.

Timbalan Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, satu tandatangan bersejarah persetujuan damai antara dua negara anggota ASEAN termeterai di Kuala Lumpur dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dengan kejayaan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya membantu menamatkan konflik sempadan berpanjangan antara dua negara anggota ASEAN.

“Tahniah juga kepada pihak berkonflik kerana mendahulukan jiwa dan semangat ASEAN yang mendambakan keamanan.

“Di sebalik kejayaan ini, ada juga pihak yang mengambil kesempatan untuk menidakkan kejayaan tersebut dengan meremehkan peranan Anwar dan kerajaan Madani dengan tuduhan kononnya Malaysia mengambil sikap lunak dengan Amerika sempena kedatangan Trump ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Malah, menurut Dr. Mujahid, ditularkan dalam media sosial seolah-olah Malaysia telah mengadaikan prinsip membela perjuangan kebebasan Palestin dengan menerima kehadiran Trump di Malaysia dan berunding mengenai hubungan perdagangan Malaysia dan AS.

Kata beliau, Amanah menegaskan hubungan strategik Malaysia dengan Amerika Syarikat tidak boleh ditafsirkan sebagai sokongan terhadap kezaliman Israel di Gaza.

Katanya, tuduhan sedemikian adalah sempit dan gagal memahami hikmah Siasah Syar‘iyyah iaitu seni politik Islam yang mengimbangi antara kemaslahatan dan kemudaratan dengan berpaksikan prinsip keadilan, maruah dan kepentingan ummah.

“Amanah berpegang kepada kaedah bahawa, “tindakan pemimpin itu terikat dengan tujuan mencapai kemaslahatan”. Kemaslahatan itu ditentukan melalui realiti geopolitik dan kepentingan hubungan antarabangsa yang sepatutnya memberi manfaat kepada ekonomi, pekerjaan dan kestabilan negara, tanpa perlu menggadai prinsip Islam dan kemanusiaan.

“Hubungan dengan AS adalah sebagai alat tadbir untuk kemaslahatan negara dan mengelak kemudaratan, bukan hubungan berbentuk wala’ (kesetiaan) kepada dasar luar Amerika yang menyokong penindasan dan genosid di Gaza.

“Dalam hal ini tidak dapat dinafikan bahawa suara Malaysia kekal lantang membela Palestin, menentang pendudukan haram Israel, menuntut keadilan sejagat dan keamanan yang mampan,” ujar beliau.

Beliau berkata, Malaysia kekal dengan dasar tiada hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel dalam apa juga bentuknya.

Pada masa sama, pendekatan hikmah mentadbir kemaslahatan negara mengajar kita mengambil kaedah berunding, berdagang dan bekerjasama dengan semua kuasa dunia lain, termasuk AS bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara secara berdaulat dan bermaruah.

“Sepanjang kehadiran Trump ke sidang kemuncak ASEAN, Anwar menggunakan kaedah ‘dual track diplomacy’ atau pun diplomasi dwi landasan yang cuba menguruskan antara kepentingan hubungan Malaysia /ASEAN, sementara beliau bersikap tegas memperjuangkan maruah dan hak Palestin yang tertindas.

“Dalam pendekatan hikmah siasah, ia disimpulkan sebagai pendekatan “berbaik untuk manfaat, berprinsip untuk maruah”.

“Amanah menyokong pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba menyeimbangkan antara diplomasi dan prinsip,” katanya.

Katanya lagi, ia adalah pegangan politik Amanah selama ini yang berasaskan akhlak, maruah dan hikmah serta menolak pendekatan politik identiti sempit bersentimenkan kaum dan agama tanpa melihat keperluan negara yang lebih besar dan tekanan geopolitik antarabangsa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *