Pelajar UM maut terjatuh: Ibu bapa di Tanah Suci, tidak sempat tatap wajah

JOHOR BAHRU – Ibu bapa pelajar Universiti Malaya (UM) Ahmad Arif Zawir Mohd Ali yang maut akibat terjatuh daripada bangunan kolej kediaman petang semalam, tidak sempat menatap wajah anak mereka sebelum dikebumikan petang tadi.

Abang Allahyarham, Ahmad Auf, 35, berkata, ibu bapa mereka Mohd Ali Hashim, 63, dan Roslina A. Rahman, 61, berada di Tanah Suci sejak 7 Oktober lepas sebagai mutawif dan sepatutnya pulang Rabu ini.

Beliau berkata ibu bapa mereka bagaimanapun telah berlepas dari Jeddah 2 petang tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 12 tengah malam ini.

“Umi dan abah dapat berita pemergian adik daripada kumpulan Whatsapp keluarga. Walaupun tidak sempat berjumpa, kami kongsi video dan gambar sepanjang majlis pengebumian kepada mereka,” kata jurutera itu ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurutnya, Ahmad Arif Zawir yang bercita-cita mahu menjadi ilmuwan Islam kali terakhir ditemui pada 12 Oktober lalu, iaitu hari beliau dihantar ke universiti untuk memulakan semester baharu.

“Allahyarham ada cakap rindu umi dan abah, tetapi tidak kesampaian untuk berjumpa. Kami, umi dan abah juga reda apa yang berlaku, dia pergi pada hari Jumaat iaitu hari yang baik,” katanya.

Ahmad Auf turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu urusan pengebumian adiknya.

Sementara itu, rakan Allahyarham, Muhammad Faiz Fahmi Abdul Basir, 21, berkata, Ahmad Arif Zawir berwatak ceria ketika kali terakhir ditemui Khamis lepas.

“Tiada siapa yang jangka kejadian ini berlaku, pemergian dia sememangnya memberikan kesan yang mendalam kepada saya,” katanya yang berasal dari Kedah.

Asyrafuddin Arif Amaluddin Arip, 22, pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang rakan yang disenangi ramai dan tidak mempunyai musuh.

“Dia orang yang sangat baik, sentiasa pegang tasbih dan buku agama tetapi agak pendiam,” kata pemuda dari Shah Alam itu.

Terdahulu, jenazah mahasiswa tahun empat Jabatan Figh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainah Pasir Gudang di sini pada jam 6.20 petang tadi.

Lebih 100 ahli keluarga, rakan dan pihak universiti menghadiri pengebumian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, hasil bedah siasat mendapati kematian pelajar itu berpunca daripada kecederaan serius pada kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas mangsa telah dijalankan oleh pegawai perubatan di Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bermula kira-kira jam 10 malam semalam dan selesai sekitar jam 3 pagi tadi.

Shamsudin memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian mangsa terjatuh dari bangunan kolej kediaman pada jam 3.15 petang semalam dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM jam 4.25 petang hari sama. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *