Malam Puisi Mengukir Bangsa Angkat Martabat Bahasa dan Seni Warisan Melayu

SHAH ALAM – Sempena Bulan Dekad Kebangsaan, acara berprestij Malam Puisi Mengukir Bangsa telah berlangsung dengan penuh gemilang sebagai manifestasi kecintaan terhadap bahasa, seni dan budaya bangsa.

Majlis itu bukan sekadar pentas penghargaan terhadap puisi sebagai warisan budaya, tetapi juga simbol penyatuan rakyat berbilang kaum melalui keindahan bahasa dan nilai kemanusiaan sejagat.

Program itu diadakan selepas Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (SAABM 2025) yang berlangsung pada hari yang sama, bertemakan “Bahasa Melayu Mengangkat ASEAN.”

Kedua-dua acara ini dianjurkan oleh Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PABMM) dengan kerjasama pelbagai institusi serantau dan nasional, termasuk Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman (IKK), Asia Lecturers and Teachers Community (ALTC) Indonesia, Kursi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Thai Global Business Administration Technological College (TGBC), Rajamangala University of Technology (RMUTT) Thailand, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM Press) serta Pejabat Perdana Menteri Kesembilan.

Kemuncak malam tersebut menyaksikan penganugerahan Tokoh Mengukir Bangsa kepada tiga individu yang banyak berjasa dalam mengangkat martabat bahasa, sastera dan perpaduan nasional.

Anugerah tertinggi, Tokoh Mengukir Bangsa (Penyair Tersohor) dianugerahkan kepada Allahyarham Datuk Usman Awang atas sumbangan besar beliau memperjuangkan puisi yang membina jiwa bangsa dan menyemai kasih sesama insan.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mantan Perdana Menteri Kesembilan, dan diterima oleh anak beliau, Haslina Usman, sebagai tanda penghargaan terhadap legasi seni dan kemanusiaan Allahyarham.

Turut menerima pengiktirafan ialah Prof. Ir. Ts. Mohamed Thariq Hameed Sultan, Pengarah Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) – penerima Tokoh Mengukir Bangsa (Penulisan dan Penerbitan) atas dedikasi memperkukuh bidang penulisan ilmiah Bahasa Melayu yang berindeks antarabangsa dan,

Prof. Madya Ts. Jessica Ong Hai Liaw, dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) – penerima Tokoh Mengukir Bangsa (Bahasa dan Perpaduan) atas usaha berterusan memperkasa komunikasi insani dan perpaduan nasional melalui bahasa, seni dan pendidikan.

Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (SAABM 2025) yang diadakan pada sebelah siang turut menjadi platform ilmiah penting memperkasa Bahasa Melayu di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Simposium ini menghimpunkan tokoh akademik tempatan dan antarabangsa menerusi ucaptama, forum dan pembentangan kertas kerja ilmiah bagi menghasilkan resolusi strategik demi masa depan bahasa, perpaduan dan budaya rantau ASEAN.

Matlamat utama SAABM 2025 adalah untuk menyahut seruan memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, komunikasi dan diplomasi di pentas global – seiring dengan aspirasi menjadikan bahasa ini bahasa penyatu rantau ASEAN.

Melalui gabungan program ilmiah dan apresiasi seni, Malam Puisi Mengukir Bangsa membuktikan bahawa Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga wahana membina tamadun dan mempertaut hati rakyat pelbagai bangsa.

Acara ini menandakan komitmen berterusan semua pihak dalam mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban dan perpaduan, selaras dengan semangat Bulan Dekad Kebangsaan 2025.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *