KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mengumumkan cuti tambahan sempena sambutan Deepavali, sekali gus warga sekolah bakal menikmati cuti panjang untuk bersama keluarga.
Deepavali yang turut dikenali Pesta Cahaya akan disambut pada Isnin 20 Oktober ini menurut Kalendar Akademik Sesi Persekolahan 2025/2026.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, KPM memaklumkan cuti tambahan itu melibatkan semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh negara, kecuali Sarawak, yang mempunyai ketetapan tersendiri.
Jadual cuti tambahan mengikut Kumpulan A iaitu sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu ialah Ahad 19 Oktober hingga Selasa 21 Oktober.
Diikuti Kumpulan B iaitu sekolah di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) cuti pada Selasa 21 Oktober dan Rabu 22 Oktober.
Namun, Sarawak diberikan cuti sehari pada Isnin 20 Oktober sahaja sempena sambutan Deepavali.
Dengan pengumuman itu, warga sekolah di Kumpulan B berpeluang menikmati lima hari cuti berturut-turut bermula Sabtu 18 Oktober hingga Rabu 22 Oktober, manakala Kumpulan A pula menikmati cuti panjang selama empat hari dari Sabtu hingga Selasa.
KPM menjelaskan, pemberian cuti ini selaras dengan usaha memperkukuh semangat kekeluargaan serta meraikan kepelbagaian budaya dan agama dalam kalangan rakyat Malaysia.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001