TANJONG MALIM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjangkakan peruntukan lebih besar akan diberikan kepada kementerian itu susulan pelancaran Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang dijadualkan tahun depan.
Menterinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata peruntukan berkenaan akan merangkumi pelbagai aspek penambahbaikan sistem pendidikan tinggi negara sejajar dengan pelaksanaan pelan berkenaan.
“Jika digabungkan antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, kita akan dapati bahawa bajet untuk pendidikan sentiasa berada di kedudukan teratas.
“Kali ini juga kita menjangkakan serta mengharapkan bajet yang sama, malah mungkin terdapat perkara baharu yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri nanti. Harapan kita, akan ada pertambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Pendidik Global (GEA) 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, malam tadi.
Turut hadir Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, Ketua Setiausaha KPT Datuk Anesee Ibrahim dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Sementara itu, Zambry berkata penganjuran GEA 2025 dilihat sebagai antara usaha ke arah memperkukuh agenda pengantarabangsaan institusi pendidikan tinggi negara.
“Setiap universiti mempunyai keunikan tersendiri. Sebagai contoh, UPSI ialah universiti ternama dalam bidang pendidikan.
“Selama ini, kita kurang menonjolkan nilai dan sejarah institusi seperti ini yang sudah berusia lebih 100 tahun. Justeru, GEA diilhamkan bagi mengangkat UPSI ke persada antarabangsa,” katanya.
Program GEA yang berlangsung dari 2 Okt hingga 4 Okt 2025 di Dewan Tuanku Canselor menampilkan pelbagai acara berteraskan pengiktirafan dengan pertukaran intelektual.
Antara pengisian utama ialah Persidangan Agung Guru, Forum Pendidikan Nilai MADANI, sesi perkongsian oleh finalis GEA, serta lawatan fakulti dan sekolah bagi para pendidik antarabangsa untuk meninjau amalan pendidikan tempatan.
Sebanyak 244 pencalonan diterima daripada 57 negara termasuk Rusia, Australia, Argentina, Afrika Selatan, India, Iran, Pakistan, Indonesia dan Malaysia. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001